Lebih kurang sebulan yang lalu, TM telah melancarkan perkhidmatan jalur lebar tanpa wayar terbaru yang dikenali sebagai Unifi Air. Pada asalnya, pelan ini hanya dibuka untuk pelanggan-pelanggan Streamyx sahaja dan kini ianya dibuka kepada mana-mana pengguna yang berminat asalkan berada di dalam kawasan liputan rangkaian LTE Unifi.

TM pada masa ini masih lagi menawarkan perkhidmatan ini pada RM79 sebulan; iaitu pada harga yang sama ditawarkan kepada pelanggan-pelanggan Streamyx. Pelan ini dikatakan ditetapkan pada harga RM129 sebulan, namun diberikan potongan harga untuk satu tempoh yang tidak dinyatakan.

Bersama-sama langganan perkhidmatan dengan ikatan kontrak selama 24 bulan ini, pengguna yang mendaftar bakal menerima sebuah router LTE Huawei B618-65 yang mampu menyokong sehingga 65 sambungan dalam satu-satu masa.

Bagi pengguna yang tidak mahu terikat dengan sebarang kontrak, dan mahu menggunakan router LTE sendiri, anda boleh memilih untuk mendapatkan kad SIM Unifi Air sahaja pada kadar bayaran langganan yang sama.

Apa jua pilihan pengguna, sama ada dengan kontrak atau tidak, kedua-duanya perlu membayar wang pendahuluan sebanyak RM100. Buat masa ini pengguna yang berminat untuk melanggan perkhidmatan ini, pendaftaran kini dibuka di cawangan-cawangan TM Point diseluruh negara. Pendaftaran secara atas talian hanya akan mula dibuka pada November ini.

Maklumat lanjut, layari laman web rasmi Unifi

Tinggalkan komentar