Facebook baru-baru ini telah mengumumkan fungsi pembelian secara terus di dalam aplikasi WhatsApp. Melalui fungsi ini, pengguna boleh membuat pembelian secara terus barangan yang dijual di Facebook Shops melalui WhatsApp.

Sebuah video promosi mengenai fungsi ini turut diperkenalkan melalui saluran rasmi WhatsApp di YouTube.

Berdasarkan video tersebut, transaksi bermula apabila pengguna menghantar mesej kepada penjual melalui WhatsApp untuk memberitahu mengenai barangan yang ingin dibeli.

Seterusnya, penjual boleh menyediakan katalog barangan berkaitan dan pengguna boleh memilih barangan yang diingini. Sebaik ianya dipilih, pengguna selanjutnya boleh membuat semakan keluar untuk pembayaran.

Reuters turut melaporkan keputusan Facebook memperkenalkan fungsi ini bertujuan bagi meningkatkan hasil pendapatannya dari WhatsApp disamping mempertingkatkan prasarana e-dagangnya. Langkah ini juga selaras dengan hala tuju Facebook selepas melancarkan Facebook Shops pada Mei lalu.

Sungguhpun Facebook Shops kini telah pun sedia untuk digunakan oleh pengguna di Malaysia, kaedah pembayaran melalui WhatsApp bagaimanapun masih lagi belum hadir.

Facebook memaklumkan fungsi ini akan diperkenalkan sekitar tahun ini, namun tidak menyatakan tarikh tetap ianya bakal dilancarkan.

Sumber berita diperoleh dari Reuters dan Engadget

Tinggalkan komentar