Sebuah sindiket di sebalik kegiatan penyebaran SMS palsu menggunakan peranti Base Transceiver Station (BTS) palsu haram telah ditumpaskan di dalam Ops Pancing. Operasi yang dijalankan secara bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) ini telah berjaya menahan seorang individu yang disyaki terlibat di dalam kegiatan tersebut.
Hasil aduan orang awam dan risikan, operasi tersebut telah membawa kepada penahanan seorang individu ketika mengendalikan peralatan Fake BTS dalam sebuah kenderaan berhampiran pusat membeli-belah utama di Kuala Lumpur. Peranti tersebut diketemukan di dalam mod aktif, memancarkan mesej-mesej SMS berkaitan phishing dan perjudian kepada orang awam di sekitar kawasan terbabit.
Rentetan dari penangkapan tersebut, pihak PDRM dan SKMM telah menyerbu sebuah kediaman rumah teres dua tingkat di Kota Kemuning, Shah Alam. Lokasi tersebut dijadikan sebagai tempat penyimpanan kenderaan termasuk sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) serta kelengkapan komunikasi berkaitan Fake BTS. Pihak berkuasa turut merampas 45 barangan bernilai RM100,000 dan turut memanggil seorang individu lain untuk membatu siasatan.
Siasatan awal turut mendapati taktik baharu sindiket mengubahsuai peranti BTS palsu untuk kegunaan mudah alih, menjadikan pengesanan lebih sukar dilakukan.
Kes disiasat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh membawa kepada denda sehingga RM 1 juta atau 10 tahun penjara, dan Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Spektrum) 2000 yang boleh didenda sehingga RM300,000 atau tiga tahun penjara.













