PCI Special Interest Group (PCI SIG) telah mengumumkan versi seterusnya antara muka I/O popular yang digunakan untuk menyambungkan peranti ke komputer, PCIe 5.0. Versi terbaru ini hampir dua kali ganda kelajuannya dari apa yang ditawarkan oleh PCIe 4.0.

Menurut laman Business Wire, PCIe 5.0 dapat menawarkan kadar pemindahan data secara kasarnya 32GT/s (gigatransfers per saat). Ini bermakna kelajuannya mencecah kira-kira 128GB/s apabila membuat pemindahan data menerusi konfigurasi 16-lajur (x16). Sebagai perbandingan, PCIe 4.0 melalui x16 menyediakan kadar 16T/s atau bersamaan 64GB/s.

Oleh itu, untuk PCIe 5.0, kelajuan pemindahan adalah 64 GB/s untuk setiap operasi input dan output. Sebagai rujukan, ia menghantarkan 4GB/s pada setiap arah melalui konfigurasi satu lajur tunggal (x1).

Selain itu, PCIe 5.0 juga menambah sokongan untuk sambungan CEM baru yang direka khusus untuk kad tambahan dan juga menyediakan keserasian ke belakang untuk semua versi PCIe 4.0, 3.0, 2.0, dan 1.0. Ia juga meningkatkan prestasi mekanikal dan integriti isyarat penyambung-penyambungnya.

Pembangunan versi terbaru ini mengambil masa kurang dari dua tahun sejak PCIe 4.0 diumumkan secara rasminya pada 2017. Pengerusi PCI SIG, AI Yanes telah mengumumkannya sebagai “pencapaian utama” dan menegaskan bahawa teknologi tersebut diperlukan untuk aplikasi intensif data baru yang memerlukan perkakasan berprestasi tinggi.

Seperti yang diketahui, PCI Express adalah antara muka yang digunakan untuk menempatkan perkakasan seperti storan, kad grafik, dan kad Wi-Fi. Walau bagaimanapun, agak menghairankan PCIe 4.0 pun agak sukar diketemukan pada kebanyakan komputer dan laptop pengguna biasa.

Perkembangan ini adalah sesuatu yang menarik untuk dilihat bagaimana PCI SIG mengusahakan ke arah lebih ramai lagi pengguna PCIe 5.0.

Sumber berita diperoleh dari Phoronix

Tinggalkan komentar