Utama Mobile Aplikasi PayNet sahkan caj transaksi DuitNow QR akan dikenakan kepada peniaga bermula 1...

PayNet sahkan caj transaksi DuitNow QR akan dikenakan kepada peniaga bermula 1 November 2023

281
0

Payments Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet), pengendali perkhidmatan DuitNow telah mengeluarkan kenyataan tentang laporan dari sebuah portal yang tular di media sosial. Ia berkenaan caj transaksi bagi bayaran menggunakan kod QR DuitNow dan transaksi yang dibuat dengan kad kredit bermula dari 1 November 2023.

Di dalam sebuah kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini, pihak syarikat menjelaskan laporan tersebut sebagai “kurang tepat”.

Menurut PayNet, terdapat dua e-pembayaran berbeza dikenakan caj iaitu kadar diskaun peniaga (merchant discount rate, MDR) dan fi 50 sen bagi transaksi melebihi RM5,000.

“Mulai 1 November, pengecualian MDR untuk pembayaran menerusi kod QR DuitNow berakhir. Ketika ini, pembayaran kad debit dan kredit tertakluk kepada MDR, manakala terdapat pengecualian MDR untuk pembayaran QR,” katanya.

Di dalam kenyataan yang sama juga, PayNet menjelaskan fi sebanyak 50 sen yang dilaporkan media adalah untuk pemindahan dana rakan setara (peer-to-peer, P2P) dan tiada kaitan dengan pembayaran kepada peniaga.

“Caj untuk MDR dan fi 50 sen tidak akan dikenakan untuk transaksi sama dalam apa jua keadaan. Adalah tidak tepat untuk menyatakan bahawa fi 50 sen dikenakan untuk pembayaran yang dibuat kepada peniaga. Ia juga tidak betul untuk mendakwa bahawa MDR dicaj untuk pemindahan dana menggunakan kod QR peribadi,”

MDR bukanlah caj baharu atau tambahan. Menurut Paynet, ia merupakan insentif untuk menggalakkan penggunaan pembayaran kod QR yang diperkenalkan pada 2019 dengan MDR telah dikecualikan dan dilanjutkan lagi berikutan penularan wabak pandemik.

Kesan terhadap pengguna

PayNet turut menegaskan MDR untuk pembayaran DuitNow QR tidak akan memberikan kesan terhadap kenaikan harga barangan dan perkhidmatan pengguna.

“Harga produk dan perkhidmatan yang dibayar dengan kad kredit atau debit adalah sama seperti pembelian tunai. Oleh itu, kami tidak menjangkakan bahawa harga barangan dan perkhidmatan akan terjejas oleh pembayaran QR DuitNow selepas MDR dilaksanakan semula,”

Buat masa ini, caj 50 sen untuk mana-mana transaksi DuitNow melebihi RM5,000 akan dikenakan.

PayNet dimiliki oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan konsortium terdiri daripada 11 bank tempatan. DuitNow QR pula ditubuhkan di bawah Rangka Kerja Pemindahan Kredit Saling Boleh Kendali (ICTF) BNM.

ICTF memberi mandat kepada PayNet, sebagai penyedia rangkaian pembayaran dan infrastruktur utama bagi pasaran kewangan di Malaysia untuk menjalankan piawaian QR saling boleh kendali dan umum untuk Malaysia.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.