Rapid KL pada Khamis lalu telah mengumumkan tambang percuma kepada seluruh pengguna di Lembah Klang untuk tempoh selama sebulan. Walaubagaimanapun, pengguna pas perjalanan My50 sebelum ini tidak dapat menikmati tawaran tambang percuma tersebut kerana telah membeli pas lebih awal sebelum pengumuman tersebut.

Oleh yang demikian, Rapid KL telah memperluaskan penawaran tersebut dengan memberikan pembeli pas My50 sedia ada dengan tambahan 30 hari lagi secara percuma.

Untuk makluman, My50 merupakan pas perjalanan bulanan berharga RM50 yang membolehkan pengguna menggunakan mana-mana kemudahan pengangkutan awam yang dikendalikan oleh Rapid KL tanpa had selama 30 hari. Pengangkutan awam tersebut meliputi bas Rapid KL, MRT, LRT, BRT dan Monorail.

Bagi anda yang mempunyai pas yang tempoh tamatnya di antara 17 Jun hingga 15 Julai ini, anda akan menerima tambahan 30 hari lagi secara percuma. Anda boleh membuat tuntutan tersebut menerusi kaunter stesen-stesen berhampiran anda sehari selepas pas anda tamat tempoh.

Manakala pengguna yang membeli pas tersebut pada 16 Jun, anda boleh mendapatkan tambahan sebulan lagi selepas ia tamat bersama-sama perlanjutan untuk tujuh hari lagi. Walaubagaimanapun, ia perlu diaktifkan di antara 23 hingga 25 Julai nanti.

Rapid KL juga menasihatkan anda yang membeli pas tersebut pada 16 Jun untuk menyimpan resit pembelian bagi tujuan memudahkan pengesahan. Pengguna juga diperlukan untuk mengisi satu borang pada aplikasi PULSE atau borang salinan fizikal di stesen berhampirna untuk membuat tuntutan perjalanan percuma ini.

Pemberian tambang percuma selama 30 hari untuk semua perkhidmatan pengangkutan awam Rapid KL oleh pihak kerajaan ini dibuat bersempena pembukaan rasmi Fasa Pertama Laluan MRT Putrajaya. Tawaran percuma selama sebulan ini juga diperluaskan untuk perkhidmatan KTM Komuter Lembah Klang dan juga SkyPark Link.

Menurut Perdana Menteri Ismail Sabri Yaacob, inisiatif tambang percuma ini akan melibatkan kos sejumlah RM155 juta dengan RM140 juta untuk perkhidmatan Rapid KL dan RM15 juta bagi KTM.

Tinggalkan komentar