Filem animasi tempatan Papa Zola The Movie mencatatkan kejayaan luar biasa dengan meraih kutipan box office sebanyak RM43 juta, mengukuhkan kedudukannya sebagai antara filem animasi tempatan paling berjaya dalam sejarah perfileman Malaysia.
Pencapaian ini diumumkan pada 29 Disember 2025 di Kuala Lumpur, seiring dengan fenomena ‘Demam Papa Zola’ yang melanda seluruh negara. Filem ini kini ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei.
Inisiatif Impak Sosial
Kejayaan filem ini turut disokong oleh pelbagai inisiatif berteraskan aktiviti impak sosial. Tayangan khas dan program ‘belanja wayang’ dianjurkan oleh para pempengaruh tempatan seperti Ashhhrap, Xavier Naxa, Cikgu Marviza, Miera Faera, Bella Park dan Zuhan Hamzah bagi memberi peluang kepada lebih ramai keluarga, termasuk komuniti terpilih, untuk menikmati filem ini.
Inisiatif ini selari dengan semangat Papa Zola yang menekanakan nilai kebersamaan, keceriaan dan sokongan komuniti.
Respons Pengkarya
Pengarah dan Penulis Papa Zola The Movie merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MONSTA, Nizam Abd Razak, menyatakan, “Dalam suasana cuti sekolah, Papa Zola The Movie menjadi ruang untuk keluarga berkumpul dan mencipta kenangan bersama.
Apa yang menyentuh hati kami adalah apabila filem ini ditonton bukan sahaja oleh ibu bapa dan anak-anak, tetapi juga apabila mak ayah, atuk dan nenek turut dibawa ke pawagam”.
Beliau turut menegaskan bahawa inisiatif komuniti yang membantu lebih ramai keluarga merentas generasi menikmati filem ini sangat dekat dengan nilai yang cuba disampaikan melalui Papa Zola The Movie.
Penerbit Eksekutif Papa Zola The Movie merangkap Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad, berkata, “Kejayaan ini terhasil daripada sokongan penonton dan pencapaian ini amat bermakna buat industri filem tempatan.
Walaupun banyak filem baru dari francais popular Hollywood di pawagam ketika ini, tetapi filem tempatan masih mampu memberi saingan”.
Beliau menyampaikan ucapan terima kasih kepada penonton, rakan media yang memberi liputan meluas, serta pihak pawagam yang memainkan peranan penting dalam menjayakan filem ini.
Kisah seorang Bapa Penyayang
Papa Zola The Movie mengisahkan Papa Zola, seorang bapa yang bekerja keras menyara keluarga kecilnya. Tanpa diduga, dia bertemu semula dengan rakan lama yang pernah berkhidmat bersamanya dalam organisasi rahsia P.A.P.A (Protect and Prevent Agency).
Keadaan menjadi genting apabila anaknya, Pipi, diculik makhluk asing, memaksa Papa Zola bersama Mama Zila bertindak pantas untuk menyelamatkan Pipi dan melindungi dunia daripada ancaman tersebut.
Papa Zola ke persada global
Filem ini bakal melangkah ke panggung antarabangsa bermula Januari 2026 di Indonesia. Edaran filem ini turut akan memasuki pasaran India, Vietnam dan Timur Tengah yang merangkumi Arab Saudi, UAE, Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar serta Turki pada April 2026.
Papa Zola The Movie membuktikan bahawa karya animasi tempatan bukan sahaja mampu menarik hati penonton pelbagai lapisan usia, malah berdiri setanding dengan filem antarabangsa di pawagam.
Sokongan padu penonton Malaysia menjadi pemangkin utama kejayaan filem ini, sekali gus mencerminkan keyakinan tinggi terhadap kualiti dan penceritaan animasi tempatan.
Lebih daripada sekadar hiburan, Papa Zola The Movie tampil sebagai filem keluarga yang menyatukan ibu bapa dan anak-anak dengan mencipta momen bersama ketika cuti panjang persekolahan.













