Utama Android Samsung Galaxy Z Flip 3 – Unboxing dan Pandang Pertama Telefon Boleh...

[Video] Galaxy Z Flip 3 – Unboxing dan Pandang Pertama Telefon Boleh Lipat baharu dari Samsung

836
0

Samsung baru-baru ini telah melancarkan dua buah telefon pintar boleh lipat baharu untuk tahun ini. Dua model berkenaan, Galaxy Z Fold 3 mengkhususkan pada peningkatan produktiviti, dan sebuah lagi Galaxy Z Flip 3 pula lebih mementingkan gaya.

Pun begitu, kedua-dua model ini menawarkan lonjakan kemajuan dalam teknologi paparan boleh lipat jika dibandingkan dengan model-model terdahulu.

Banyak pengalaman yang telah dipelajari oleh Samsung dalam membangunkan teknologi skrin boleh lipat dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini. Hasilnya dapat kita lihat melalui penghasilan Samsung Galaxy Z Fold 3 dan Z Flip 3.

Melalui Samsung Galaxy Z Flip 3, harga permulaan ketika dilancarkan juga kini lebih rendah jika dibandingkan dengan harga Galaxy Z Flip sebelum ini.

Harga Samsung Galaxy Z Flip3

Terdapat dua varian Samsung Galaxy Z Flip3 ditawarkan mengikut kapasiti storannya. Kedua-duanya mempunyai kapasiti RAM yang sama iaitu 8GB.

  • Galaxy Z Flip3 128GB: RM3,999
  • Galaxy Z Flip3 256GB: RM4,199

Samsung Galaxy Z Flip 3: Selayang Pandang

Unit Galaxy Z Flip 3 yang saya terima untuk ulasan kali ini adalah berwarna Cream. Sekali pandang memang hati mudah tertawan dengan kerana warna sebegini sesuai dipadankan dengan hampir kebanyakan aksesori.

Rupa luaran telefon pintar ini diserikan lagi skrin luarannya yang lebih lebar jika dibandingkan dengan model sebelumnya. Paparan yang lebih besar ini menawarkan kelebihan terutamanya dari segi lebih info dari notifikasi yang diterima.

Walaupun tidak boleh digunakan untuk menaip bagi membalas respon, sekurang-kurangnya teks yang dipaparkan lebih mudah dibaca dan difahami.

Apabila skrin dalamannya diselak, ia menyerlahkan paparan AMOLED 6.7-inci, sama seperti model terdahulu pada tahun lepas. Bagaimanapun, ia kini lebih cerah dan kelihatan lebih besar kerana bingkainya yang lebih nipis. Selain itu, paparannya kini juga mempunyai pelindung skrin bagi meningkatkan lagi tahap kelasakannya.

Bercakap mengenai kelasakan, Samsung Galaxy Z Flip 3 mencapai penarafan IPX8 yang bermakna ia kini lebih rintang air. Tetapi memandangkan ia memiliki mekanisme lipatan, anda jangan pula merendamkannya ke dalam air kolam. Setakat terpercik air sikit atau jatuh terendam di dalam air seketika itu masih lagi boleh dimaafkan.

Engsel Galaxy Z Flip 3 dilihat amat membantu dalam meletakkan lipatan skrin telefon Samsung ini dalam pelbagai sudut. Ini seterusnya amat membantu ketika kita menggunakannya di dalam panggilan video atau mengambil swafoto. Selepas berpuluh kali membuka dan menutup lipatan skrin Galaxy Z Flip 3 ini, saya dapat merasakan kelancaran serta ketahanan engselnya.

Satu lagi penambahbaikan ketara yang disediakan pada Galaxy Z Flip 3 ini adalah pada kadar penyegaran semula panelnya iaitu 120Hz. Paparannya kini dapat dirasakan lebih lancar dan lebih jelas walaupun digunakan di bawah terik sinar mentari khatulistiwa.

Lain-lain kelebihan seperti tahap ketahanan bateri, kamera dan prestasinya saya akan ulas kelak dalam tempoh terdekat menerusi ulasan penuh tidak berapa lama lagi.

Setakat ini, saya berpendapat Samsung Galaxy Z Flip 3 berpotensi membawa hala tuju baharu dalam dunia peranti mudah alih melalui paparan boleh lipatnya.

Bagi anda yang berminat untuk mendapatkan Samsung Galaxy Z Flip 3, layari laman web rasmi Samsung Malaysia.

Tinggalkan komentar

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.