Samsung telah melancarkan Galaxy A73 5G bersama-sama Galaxy A33 5G dan Galaxy A53 5G di pasaran Malaysia pada 16 Mac lalu. Telefon ini merupakan kesinambungan dari Galaxy A72 yang dilancarkan pada tahun lepas.
Galaxy A73 5G mempunyai paparan Super AMOLED 6.7-inci dengan kadar penyegaran semula 120Hz. Ia mempunyai kerintangan air dan debu IP67 dan bateri 5,000mAh. Pemprosesannya pula menggunakan Snapdragon 778G, menggantikan Snapdragon 720G yang digunakan pada Galaxy A72 sebelum ini.
Apa yang menarik dengan model ini adalah ia merupakan telefon pintar pertama dari Samsung Galaxy A yang menawarkan kamera 108MP.
Kandungan di dalam kotak Samsung Galaxy A73
Didapati tiada palam pengecas disediakan bersama-sama telefon ini di dalam kotaknya. Samsung dilihat telah mula tidak menyertakan palam pengecas termasuk telefon pintar peringkat menengahnya seperti Galaxy A73 ini.
Berikut adalah apa yang disediakan di dalam kotaknya:
- Telefon pintar Samsung Galaxy A53 5G RAM 8GB, storan 256GB berwarna Awesome White
- Kabel USB Type-C ke C
- Alatan penolak SIM
- Panduan Mula Segera dan Maklumat Waranti
Galaxy A73 5G menawarkan paparan Infinity-O Super AMOLED Full HD+ 6.7-inci dengan kadar penyegaran semula 120Hz, sama seperti model sebelumnya. Melalui kecerahan sehingga 800 nits, telefon ini masih boleh dilihat secara jelas walaupun di persekitaran terang seperti di luar rumah. Ia juga mempunyai sokongan HDR dan boleh digunakan pada aplikasi seperti YouTube dan Netflix.
Kuasa pemprosesan Galaxy A73 5G ini hadir melalui cipset Snapdragon 778G bersama-sama RAM LPDDR4X 8GB dan storan pilihan 128GB atau 256GB.
One UI 4.1 pada Galaxy A73 5G
Telefon pintar dengan keupayaan sokongan rangkaian 5G ini menggunakan antaramuka One UI 4.1 berasaskan Android 12.
Ketika pelancaran telefon ini, Samsung menyatakan komitmennya untuk memberikan kemaskini utama bagi OS sehingga 4 kali dan kemaskini keselamatan selama 5 tahun. Selain itu, Galaxy A73 5G juga menyediakan sokongan Samsung Pay dengan NFC, ciri keselamatan Samsung Knox dan Secure Folder.
Di bahagian berpenebuk lubang sebelah hadapannya, terdapat sebuah kamera 32MP f/2.2. Juga disediakan satu corong kecil audio pada bahagian bucu atas yang turut berperanan sebagai pembesar suara kedua. Paparannya ini juga menyediakan pengimbas cap jari yang terbina dalam.
Pada sebelah sisi kanannya pula disediakan butang kuasa dan juga butang kawalan bunyi. Bahagian bawahnya pula menempatkan mikrofon utama untuk membuat panggilan, port USB-C dan corong pembesar suara. Manakala pada sebelah sisi atasnya pula menempatkan slot dwi-SIM hibrid dan mikrofon sekunder. Bagaimanapun, telefon ini tidak menyediakan bicu audio 3.5mm.
Samsung Galaxy A73 5G menyediakan kuad-kamera pada sebelah belakangnya dengan salah satunya mengandungi kamera utama 108MP OIS. Tiga lagi kameranya adalah kamera ultra-lebar 12MP, kamera potret 5MP dan kamera makro 5MP. Kedua-dua kameranya ini, di depan dan juga di belakang menyokong rakaman video sehingga 4K 30fps.
Sungguhpun telefon ini mempunyai permukaan belakang yang diperbuat daripada plastik, kualiti binaannya dapat dirasakan keutuhannya. Selain itu, ia juga mempunyai kerintangan air dan debu melalui penarafan IP67.
Telefon ini hanya seberat 181 gram walaupun mempunyai bateri berkapasiti 5,000mAh, lebih ringan berbanding dengan model terdahulu yang bertatnya 203 gram. Untuk pengecasannya, telefon ini menyokong pengecasan pantas 25W.
Menurut Samsung Malaysia, terdapat tiga pilihan warna ditawarkan bagi Galaxy A73 5G ini iaitu Awesome Mint (hijau), Awesome Gray (kelabu) dan Awesome White (putih).
Spesifikasi Samsung Galaxy A73 5G |
|
| Status | Dilancarkan pada 16 Mac 2022 |
Prestasi |
|
| Pemprosesan | Octa-core (4×2.4 GHz Kryo 670 & 4×1.8 GHz Kryo 670) |
| Cipset | Qualcomm SM7325 Snapdragon 778G 5G (6 nm) |
| GPU | Adreno 642L |
| RAM & Storan | 256GB, 8GB RAM |
| Storan tambahan | microSDXC (berkongsi slot dengan SIM) |
| OS | Android 12, One UI 4.1 |
| Bateri | Li-Ion 5000 mAh, sokongan pengecasan pantas sehingga 25W |
Skrin |
|
| Saiz paparan | 6.7 inci, 108.4 cm2 (nisbah skrin ke badan ~87.0%) 1080 x 2400 piksel, nisbah 20:9 ratio (ketumpatan ~393 ppi) |
| Jenis paparan | Super AMOLED+, 120Hz |
Badan |
|
| Ukuran | 163.7 x 76.1 x 7.6 mm |
| Berat | 181 g (6.38 oz) |
| Jenis badan | kerintangan air dan debu IP67 |
| Warna | Awesome Gray, Awesome Mint, Awesome White |
Ketersambungan |
|
| SIM | SIM Tunggal (Nano-SIM) atau dwi-SIM Hibrid Dual SIM (Nano-SIM, dwi bersedia) |
| Kelajuan data | HSPA 42.2/5.76 Mbps, LTE-A |
| Wifi | Wi-Fi 802.11 a/b/g/n/ac/6, dual-band, Wi-Fi Direct, hotspot |
| Bluetooth | 5.0, A2DP, LE |
| NFC | Ada |
| USB | USB Type-C 2.0, USB On-The-Go |
Sensor |
|
| Sensor | Pengimbas cap jari (bawah paparan, optikal), accelerometer, gyro, proksimiti, kompas |
| GPS | Ada, dengan A-GPS |
Kamera & Video |
|
| Kamera belakang | Kuad: 108 MP, f/1.8, (lebar), PDAF, OIS + 12 MP, f/2.2, (ultralebar) + 5 MP, f/2.4, (makro) + 5 MP, f/2.4, (berkedalaman) |
| Kamera depan | 32 MP, f/2.2, 26mm (wide), 1/2.8″, 0.8µm |
| Video | 4K@30fps, 1080p@30/60fps; gyro-EIS Selfie: 4K@30fps, 1080p@30fps |
| Ciri-ciri lain | LED flash, panorama, HDR Selfie: HDR |
Audio |
|
| Pembesar suara | Ada |
| Bicu Audio | Tiada |

Bagi anda yang berminat untuk mendapatkan Samsung Galaxy A73 5G, anda boleh mendapatkannya di Samsung Malaysia pada harga RM2,099.













