Pertama kali memegang Samsung Galaxy S26 Ultra, pada ketika itu sukar untuk saya percayai yang ia merupakan model Ultra yang kebiasaan besar saiznya dan juga berat. Malah reka bentuknya lebih nipis, lebih ringan, dan terasa lebih selesa di tangan.

Samsung nampaknya berjaya menjawab respon pengguna mengenai saiz dan berat model Ultra. Dalam pada masa yang sama tidak mengorbankan kelebihan dan keunikan utama siri ini.

Galaxy S26 Ultra kini berketebalan 7.9mm sahaja dan berjaya mengurangkan berat kepada 214 gram. Pengurangan berbanding S25 Ultra yang mempunyai ketebalan 8.2mm dan berat 218g.

Walaupun perbezaannya kelihatan kecil di atas kertas, kesannya dapat dirasakan apabila anda memegangnya sendiri. Pencapaian ini menjadikan model Ultra paling nipis yang pernah Samsung hasilkan. Lebih nipis berbanding Note 20 Ultra yang dilancarkan pada tahun 2020 dahulu.

Untuk bingkainya pula, Samsung bagaimanapun menukarkan daripada titanium kepada aluminium. Satu keputusan yang mungkin mengejutkan sesetengah pengguna yang masih lagi belum boleh move-on dengan kelebihan titanium pada S25 Ultra sebelum ini.

Pun begitu, hasil binaannya masih lagi ada feel premium seperti model-model Ultra lain yang terdahulu. Sudut-sudutnya juga kini lebih membulat berbanding generasi terdahulu, memberikan rasa genggaman yang lebih ergonomik dan selesa.

Paparan: Lebih Cerah, Lebih Peribadi

Skrin Galaxy S26 Ultra turut mendapat peningkatan yang bermakna. Salah satu ciri terbaru yang paling menarik perhatian ialah Privacy Display.

Apabila diaktifkan, skrin akan menjadi lebih gelap untuk jika dipandang dari sudut sisi. Menyukarkan orang-orang yang tidak ada kena-mengena dengan hidup anda untuk mengintai kandungan yang dipaparkan pada skrin anda. Amat berguna untuk anda yang kerap menggunakan telefon pintar di tempat awam atau pengangkutan awam.

Selain itu, Samsung juga memperkenalkan salutan anti-pantulan baharu bagi mengurangkan silau daripada cahaya terang.

Warna paparan yang dihasilkan juga kelihatan lebih semula jadi. Ia tidak terlalu tumpat walaupun dalam mod paparan vivid, sesuatu yang kadang-kala tidak digemari oleh sesetengah pengguna.

Kamera: Rakaman Video Lebih Stabil

Bahagian kamera kekal sebagai fokus utama siri Ultra, dan S26 Ultra tidak mengecewakan. Ciri paling memukau dalam sesi pandang pertama ini ialah Horizontal Lock

Fungsinya untuk menstabilkan ufuk semasa rakaman video walaupun telefon dipusing-pusingkan ketika merakam. Ufuk di dalam video akan kekal lurus dan stabil. Ini merupakan kemajuan besar bagi pencipta kandungan dan penggemar fotografi mudah alih.

Kamera swafoto juga mendapat naik taraf. Ia kini mampu menangkap warna kulit, tekstur, dan butiran yang lebih semula jadi dalam pelbagai keadaan pencahayaan.

Samsung turut memperluas apertur pada lensa utama kepada f/1.4 dan lensa telephoto periskop 5x kepada f/2.9 untuk prestasi kamera yang lebih baik dalam situasi cahaya rendah.

Prestasi & Pengurusan Haba

Galaxy S26 Ultra dikuasakan oleh cip Snapdragon 8 Elite Gen 5. Menurut Samsung, pemprosesan menawarkan prestasi lebih laju dan lancar berbanding generasi sebelumnya.

Kebuk pengewapan di dalam S26 Ultra turut ditambah baik bagi menyokong keperluan berprestasi tinggi terutamanya dalam badannya yang lebih nipis.

Bahan antara muka haba yang digunakan di sekeliling pemprosesannya juga membenarkan pelesapan haba yang lebih berkesan. Seterusnya dapat memastikan pengalaman bermain permainan atau menjalankan tugas berat tidak terganggu akibat terlampau panas.

Bateri & Pengecasan

Kapasiti bateri kekal pada 5,000 mAh, akan kelajuan pengecasannya kini dinaik taraf kepada 60W. Ia mampu mengecas daripada 0% hingga 75% dalam masa hanya setengah jam.

Sokongan pengecasan wayarles Qi 2.0 juga disertakan, namun memerlukan casing khas. Walaupun kapasiti tidak berubah, kelajuan pengecasan yang lebih pantas ini memberikan keselesaan tambahan kepada pengguna yang sentiasa aktif.

Ciri sokongan berasaskan AI dan S Pen.

Samsung terus menawarkan kelebihan AI dengan penambahan Audio Eraser di peringkat sistem operasi. Ia membolehkan pengguna menghilangkan bunyi latar dan mengawal kekuatan suara dalam aplikasi pihak ketiga seperti YouTube, Instagram, dan Netflix.

Berdasarkan ujian ringkas yang kami lakukan, fungsi ini berguna dalam situasi seperti menonton video di tempat yang bising.

S-Pen masih kekal sebagai sebahagian daripada pakej S26 Ultra. Cuma, reka bentuk hujungnya yang kini lebih membulat mungkin boleh menyebabkan ia dimasukkan secara terbalik. Ia masih boleh disimpan dengan selamat, namun ini adalah perkara kecil yang mungkin perlu diberi perhatian oleh pengguna baharu.

Kesimpulan awal

Berdasarkan pengalaman pandang pertama ini, Samsung Galaxy S26 Ultra menampilkan dirinya sebagai penawar bagi sesiapa yang mendambakan telefon pintar mercu dengan badan lebih nipis dan ringan tanpa mengorbankan ciri-ciri premium.

Peningkatan pada kamera, paparan, pengecasan, dan ciri AI menjadikannya penambahbaikan yang menyeluruh, bukan sekadar ubah suai kosmetik semata-mata. Ulasan penuh akan memberikan gambaran yang lebih lengkap apabila ia telah melalui ujian jangka panjang.

Tinggalkan komentar