Kamera telefon pintar kian kompetitif apabila semakin banyak model-model mercu yang menggunakan sensor 200MP sebagai kamera utama. Sumber mendakwa Sony merupakan pembekal utama sensor berkenaan.

Rentetan dari maklumat tertiris mengenai OPPO Find X9 Ultra yang akan datang, laporan terkini daripada Android Headlines mendedahkan peranti tersebut akan menggunakan sensor kamera 200MP buatan Sony, sama seperti yang akan digunakan pada Galaxy S26 Ultra nanti.

Samsung memang sudah biasa menggunakan sensor kamera 200MP pada telefon pintar mercu keluarannya. Cuma khabar angin baharu ini mendatangkan persoalan sama ada Samsung tidak lagi menggunakan sensor ISOCELL buatannya sendiri apabila menggantikannya dengan Sony.

Sensor tersebut dikatakan bersaiz 1/1.1-inci yang akan menyeimbangkan prestasi resolusi dan pencahayaan. Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada Galaxy S26 Ultra akan mempunyai sensor telefoto “apertur ultra-besar” atau “kamera multi-spektral” sama seperti Find X9 Ultra.

Sungguhpun terdapat pelbagai desas-desus, spesifikasi Galaxy S26 Ultra masih lagi sekadar spekulasi dan sebarang kemaskini berkaitan kamera masih lagi belum diumumkan. Justeru, kemungkinan untuk Samsung kekal dengan sensor ISOCELL buatan sendiri masih lagi dibincangkan.

Tinggalkan komentar