OPPO Malaysia baru-baru ini telah melancarkan model terbaru di dalam siri Reno7. Hadir sebagai OPPO Reno7 Z 5G, telefon ini dibezakan dengan model lain di dalam siri melalui penggunaan cipset Snapdragon. Selain dari model Pro di dalam siri ini, Reno7 Z 5G juga salah satu vaian yang menampilkan sistem pencahayaan belakang RGB.

Telefon baharu ini hadir dengan saiz yang sama dengan Reno7 standard. Menampilkan paparan AMOLED 6.43-inci beresolusi 1080 x 2400 dengan persijilan Netflix HD dan Amazon Prime Video HD.

Ia turut hadir dengan pengimbas cap jari di sisinya, antaramuka OPPO ColorOS 12, Bluetooth 5.2, dan sokongan NFC, serta USB-C untuk mengecas dan memindahkan data.

OPPO Reno7 Z menggunakan Qualcomm Snapdragon 695 5G bersama-sama RAM 8GB dan storan dalaman 128GB. Sama seperti model-model lain di dalam siri ini, OPPO turut menyediakan ciri RAM Expansion bagi memperluaskan ruang RAM tambahannya secara maya. Telefon ini menggunakan bateri berkapasiti 4,500mAh dengan sokongan pengecasan pantas 33W SuperVOOC.

Pada bahagian belakangnya, telefon ini menyediakan pilihan warna Rainbow Spectrum dan Cosmic Black. Turut disediakan tetapan tri-kamera dengan kamera utama 64MP, kamera makro 2MP dan kamera berkedalaman 2MP. Sistem pencahayaan RGB pada belakangnya pula akan menyalakan cahaya apabila menerima notifikasi atau ketika sedang dicaskan. Pada hadapannya pula, sebuah kamera 16MP ditempatkan pada sebelah atasnya.

Harga OPPO Reno7 Z 5G di Malaysia

OPPO Reno7 Z 5G akan mula dijual di Malaysia pada 2 April ini melalui kedai fizikal, kedai dalam talian OPPO, Shopee dan juga wakil-wakil jualan yang sah di seluruh negara pada harga RM1,699. Menurut OPPO, jualan OPPO Reno7 Z 5G di Lazada pula akan bermula pada 9 April ini.

Pra-tempahan bagi model ini sudah mula dibuka sejak 29 Mac sehingga 1 April 2022 menerusi kedai dalam talian dan fizikal OPPO, serta kedai rasmi OPPO di Shopee.

Pembelian pra-tempahan OPPO Reno7 Z 5G juga akan layak menerima cenderahati percuma berbentuk beg Reno rasmi, dan diskaun sehingga 50% bagi pembelian denganĀ  pembelian untuk earbud OPPO Enco Air2 bernilai sehingga RM233 selagi stok masih ada.

Tinggalkan komentar