Pelancaran OPPO Reno6 dan Reno6 Z pada awal bulan ini telah menandakan permulaan baharu buat siri OPPO Reno di Malaysia. Kini, sebuah lagi model dari siri yang sama telah dilancarkan iaitu Reno6 Pro.

Model ini berbeza dengan model yang dilancarkan di India dan China yang menggunakan MediaTek Dimensity 1200. Berbanding dengan model di luar negara berkenaan, model di Malaysia ini menggunakan Qualcomm Snapdragon 870.

Malah, OPPO Reno6 Pro ini dikenali di China sebagai Reno6 Pro+ di China. Manakala Model Reno6 Pro di pasaran China pula dilancarkan di Malaysia sebagai Reno6 Z.

Salah satu cara untuk membezakan antara kesemuanya adalah modul kameranya kerana terdapat empat kamera di belakang bagi Reno6 Pro di Malaysia. Manakala Reno6 Z pula mempunyai tiga buah kamera pada bahagian belakangnya.

Spesifikasi Oppo Reno6 Pro Malaysia

Bercakap mengenai kamera, Reno6 Pro dilengkapkan dengan sensor Sony IMX766 50MP, bersama-sama  kamera telefoto 13MP, ultra lebar 16MP dan makro 2MP. Melengkapkan sudut fotografinya, sebuah kamera swafoto 32MP ditempatkan pada penjuru atas kiri paparan AMOLED Full HD+ 90Hz 6.5-inci telefon OPPO ini.

Telefon OPPO dengan 5G ini juga mempunyai bateri berkapasiti 4,500mAH yang menyokong teknologi pengecasan pantas OPPO SuperVOOC 2.0. Seterusnya membolehkan OPPO Reno6 Pro dicaskan sepenuhnya dalam tempoh 31 minit melalui pengecasan 65W.

Hadir dengan RAM 12GB dan storan dalaman 256GB, OPPO Reno6 Pro kini boleh dibuat pra-tempahan melalui kedai dalam talian rasminya di Lazada pada harga RM 2,999. Anda juga boleh mendapatkannya menerusi kedai-kedai fizikal OPPO Stores dan OPPO Brand Stores di seluruh negara.

Sehingga 23 Ogos ini, pelanggan yang membuat pra-tempahan akan menerima fon telinga Enco Air, beg galas Marshall, dan sebuah Mighty Mug. Anda juga bakal menerima langganan perkhimdatan Hey Tap Cloud Storage 1TB untuk selama setahun dan perlindungan kerosakan skrin OPPO Care.

Tinggalkan komentar