Oppo baru-baru ini telah melancarkan dua telefon pintar baru untuk pasaran Malaysia, iaitu Reno2 dan Reno2F. Kehadiran dua model terbaru dari siri ini menanda era baru buatnya sungguhpun siri ini telah pun diperkenalkan di pasaran Malaysia sejak lima bulan lalu.

Secara amnya, kedua-dua Reno2 dan Reno2F berkongsikan ciri rekaan yang sama tetapi dibezakan pada kamera swafoto masing-masing. Oppo telah memperkenalkan rekaan kamera swafoto terpacul berbentuk siri ikan yu pada Reno2. Manakala pada Reno2F pula, ianya masih lagi kekal dengan rekaan kamera swafoto terpacul yang pernah diperkenalkan pada sesetengah model telefon pintar Oppo terdahulu. Bagaimanapun, kedua-duanya dilengkapkan dengan kamera swafoto 16MP.

Dari segi paparannya pula, kedua-duanya menawarkan paparan AMOLED HD+ Penuh 6.5-inci. Cuma paparan untuk Reno2 adalah lebih cerah pada 500 nits berbanding Reno2F yang hadir dengan tahap kecerahan 430 nits.

Kelebihan Reno2

Kelebihan masih lagi memihak pada Reno2 dari segi kapasiti storan dalamannya iaitu 256GB berbanding Reno2F yang menawarkan kapasiti 128GB sungguhpun kedua-duanya menawarkan kapasiti RAM 8GB.

Spesifikasi Kamera Reno2
Spesifikasi Kamera Reno2F

Satu lagi faktor utama yang membezakan kedua-dua model ini adalah cipset yang digunakan. Reno2 menggunakan Qualcomm Snapdragon 730G, manakala Reno2F pula menggunakan MediaTek P70.

Kamera utama yang digunakan oleh kedua-dua model telefon pintar ini adalah kuad-kamera yang dibezakan sedikit pada penderia dan jenis yang kamera yang digunakannya.

Melengkapkan spesifikasi utama, kedua-dua Reno2 dan Reno2F menawarkan bateri berkapasiti 4,000mAh yang menyokong teknologi pengecasan pantas Oppo VOOC Flash Charge 3.0. Menerusi teknologi ini, pengguna mampu mengecas sehingga paras 51% bateri dalam tempoh 30 minit sahaja.

Bermula 26 Oktober ini, Reno2 boleh didapati di pasaran dengan harga RM2,299. Manakala Reno2F pula akan dijual dengan harga RM1,599. Sebagai perbandingan, Reno dan Reno 10X Zoom Edition yang dilancarkan sekitar bulan Mei lalu dijual di pasaran pada harga masing-masing RM 1,999 dan RM 3,399.

Anda boleh membuat pra-tempahan bagi kedua-dua model telefon pintar ini sehingga 25 Oktober ini dan setiap pra-tempahan yang dibuat, anda akan menerima pek beg Reno dan Waranti Perlindungan Skrin selama 1 tahun. Maklumat lanjut, layari laman Facebook Rasmi Oppo Malaysia.

Tinggalkan komentar