OPPO secara rasminya melancarkan tablet OPPO Pad Air ke pasaran Malaysia dan ia hadir selepas dua bulan ia diperkenalkan. Secara amnya, Pad Air merupakan varian yang lebih kompak berbanding OPPO Pad yang diperkenalkan sebelum ini.

Dilengkapkan dengan paparan IPS 10.36-inci bersama-sama resolusi natif 2000 x 1200, OPPO Pad Air turut menawarkan kadar penyegaran semula 60Hz dan kadar pensampelan sentuhan 120Hz.

Tablet ini menggunakan pemprosesan mudah alih peringkat menengah Qualcomm Snapdragon 680, sesuai dengan saiznya yang kompak. Ia hanya berketebalan 6.94mm dengan berat cuma 440g sahaja.

Di Malaysia, OPPO Pad Air hadir dengan RAM LPDDR4X-2133 4GB bersama-sama dua pilihan kapasiti bagi storan UFS 2.2 yang disediakannya. Tablet ini juga menyediakan fungsi yang dikenali sebagai Extended RAM yang membolehkan pengguna menambah kapasiti RAM secara maya sehingga 3GB.

Bersama-sama antaramuka ColorOS 12.1, OPPO memperkenalkan pelbagai ciri kepenggunaan seperti pandangan skrin terbahagi dua, dan juga menjalankan dua aplikasi yang sama secara serentak dalam satu skrin.

Juga terdapat ciri Multi-Screen Connect yang membolehkan pengguna menjalankan berbilang tugas dengan telefon yang menggunakan ColorOS 12.1 menerusi fungsi seperti kawalan fail seret & letak dan perkongsian papan klip.

Bagi anda yang menggunakan tablet sebagai peranti hiburan, OPPO Pad Air juga mempunyai pembesar suara kuad dengan sokongan Dolby Atmos. Untuk kameranya, tablet ini menyediakan sebuah kamera belakang 8MP f/2.0 dan kamera hadapan 5MP f/2.2.

Melengkapkan spesifikasi tablet ini, sebuah bateri berkapasiti 7,100mAh yang membolehkan OPPO Pad Air digunakan untuk tontonan video sehingga 12 jam atau 15 jam untuk panggilan video. Tablet ini menyokong pengecasan sehingga 18W melalui kabel USB-PD.

Harga OPPO Pad Air Malaysia

Pra-tempahan mula dibuka sejak dari semalam dengan harganya bermula dari RM1,099 bagi versi 64GB. Bagi versi 128GB pula harganya adalah RM1,299. Bermula dari sekarang hingga 29 Julai ini, pembeli yang membuat pra-tempahan OPPO Pad Air akan menerima bekas khas untuk tablet ini bersama-sama penawaran khas MY OPPO bernilai RM130. Melaluinya, pengguna akan menerima langganan premium Viu selama enam bulan dan diskaun 50% bagi papan kekunci Logitech K380.

Tinggalkan komentar