OPPO secara rasminya mengumumkan Find X5 pada hari ini. Telefon pintar mercu keluaran terkini OPPO ini menawarkan model standard dan juga varian Pro.

Kedua-duanya meanmpilkan sistem kamera dengan unit pemprosesan neural (NPU) MariSilicon X, bersama-sama peningkat pengimejan oleh pengeluar kamera dari Sweden, Hasselblad.

OPPO Find X5 Pro

OPPO Find X5 Pro menampilkan paparan melengkung AMOLED 10-bit 6.7-inci beresolusi WQHD+, liputan warna gamut P3 100%, dan kadar penyegaran semula 120Hz.

Pada permukaan belakang telefon ini disertakan kemasan panel seramik yang didakwa dua kali ganda lebih kuat berbanding kaca biasa. Penggunaan seramik juga mampu memberikan pelesapan haba yang lebih baik. Telefon ini juga mempunyai penarafan kerintangan debu dan air IP68.

Sama seperti modelnya yang terdahulu, model Pro pada kali ini juga hadir dengan bonggol tidak berkelim yang menampatkan kamera belakangnya. Bezanya, untuk model terkini ini ia menampilkan rekaan yang serba baharu. Untuk pilihan warna pula, OPPO Find X5 Pro ditawarkan dengan Ceramic White dan Glaze Black.

OPPO mengatakan OPPO Find X5 Pro merupakan telefon pintar mercu paling berkuasa yang ditawarkan olehnya setakat ini. Kuasa tersebut datangnya dari penggunaan pemprosesan Snapdragon 8 Gen 1 dan NPU MariSilicon X.

Keupayaan NPU MariSilicon X

Penggunaan NPU MariSilicon X bukan sekadar menyumbang kepada keupayaan perkomputeran AI telefon tersebut. Malah, ia membolehkan sistem pengimejannya melaksanakan algoritma pengurangan hingar AI lanjutan dari OPPO yang menyediakan penambahbaikan imej empat kali ganda di dalam fotografi dan rakaman video yang kurang pencahayaan.

Manakala pemprosesannya yang berkuasa tersebut turut dibantu oleh RAM 12GB dan storan dalaman UFS 3.1 512GB. Menguasakan Find X5 Pro ialah bateri dwi-cell 5,000mAh dengan sokongan pengecasan pantas SUPERVOOC 80W melalui USB-C.

Menurut OPPO, telefon berkenaan mampu dicaskan sehingga paras sekitar 50% dalam tempoh 12 minit sahaja. Telefon ini juga didatangkan dengan pengecasan nirwayar AIRVOOC 50W yang menurut OPPO mampu mengecas bateri sehingga 100% dalam tempoh 47 minit.

Melengkapkan NPU Find X5 Pro yang berkuasa adalah tri-kamera pada bahagian belakangnnya yang mengandungi dua buah sensor Sony IMX766 untuk kamera lebar dan ultra-lebarnya. Bersama-sama dengannya turut disediakan sebuah kamera telefoto 13MP. Pada paparan berpenebuk lubang sebelah hadapannya pula disediakan sebuah kamera 50MP bersensor Sony IMX709.

Sistem pengimejannya ini juga hadir dengan sistem penstabilan imej optikal (OIS) lima paksi bagi mengurangkan gegaran dan hentakan ketika imej dan video dirakamkan. Selain itu, Pro Mode fotografi telefon ini menyediakan fungsi Hasselblad Natural Colour Calibration yang menawarkan sejumlah penuras Master yang meningkatkan rona dan citra foto dan video anda.

OPPO Find X5

Bagi model standard model telefon ini pula, ia mempunyai ciri yang berbeza dari model Pro dari segi saiz, rekaan dan beberapa perkakasannya. Telefon ini hadir dengan teknologi paparan yang sama dengan model Pro, namun dengan saiz skrin melengkung yang sedikit kecil pada 6.5-inci.

Selain itu, bonggol pada kamera belakangnya juga menampilkan rekaan yang sama. Cuma bezanya adalah pada penggunaan lapisan berkaca pada bahagian kameranya berbanding model Pro yang mempunyai rekaan tidak berkelim. Untuk pilihan warnanya, OPPO Find X5 ditawarkan dengan pilihan warna Hitam atau Putih.

Spesifikasi model ini juga menggunakan NPU MariSilicon X. Namun untuk cipsetnya, ia menggunakan Snapdragon 888 berbanding Snapdragon 8 Gen 1 pada model Pro. Model standard ini juga menggunakan fungsi Hasselblad dan keupayaan peningkatan imej oleh MariSilicon X.

Kedua-dua model OPPO Find X5 ini dikatakan akan mula dijual di beberapa pasaran bermula 14 Mac ini dengan pra-tempahan mula dibuka dari hari ini. Harga bagi model standard adalah pada EUR 999 (~RM 4,694), manakala model Pro pula dijual pada harga EUR 1,299 (~RM 6,103). Setakat ini OPPO Malaysia masih belum mengumumkan mengenai tarikh kehadirannya ke pasaran tempatan dan juga harganya.

Tinggalkan komentar