Sungguhpun berdepan dengan pembatalan Kongres Mudah Alih Sedunia 2020, Oppo komited untuk melancarkan telefon pintar mercu terbarunya dengan alternatif lain. Pelancaran ini menandakan kembalinya siri Find dari Oppo yang tidak membuat sebarang kemunculan sepanjang tahun lalu.

Boleh didapati dalam pilihan standard dan Pro, kedua-dua model Find X2 dikuasakan oleh cipset Qualcomm Snapdragon 865 disamping menampilkan paparan OLED 6.7-inci Quad HD+ dengan kadar segar semula 120Hz. Kedua-duanya juga turut dilengkapkan dengan RAM 12GB LPDDR5 dengan storan dalaman berasaskan UFS 3.0.

Bagaimanapun, pilihan model standard menawarkan storan 256GB, manakala pilihan Pro pula menawarkan storan dalaman 512GB. Seperkara lagi yang membezakan kedua-dua model ini adalah tetapan kamera belakangnya yang dilengkapkan dengan lensa Sony IMX689 48MP bersama-sama lensa Sony IMX586 48MP dan penderia 13MP masing-masing untuk lensa bersudut ultra-luas dan kamera telefoto periskop.

Manakala untuk model standard pula, kamera belakangnya menyediakan gabungan lensa Sony IMX586 48MP bersama-saman lensa bersudut ultra luas dan lensa telefoto 13MP. Kamera untuk kedua-dua model ini juga dibezakan dengan keupayaan zoomnya dengan model Pro menawarkan zum optikal 5x, zum hibrid 10x dan zum digital 60x. Untuk model standard pula, ia menawarkan zum optikal 3x dan zum digital 20x.

Find X2 Pro boleh masuk dalam air

Find X2 Pro juga direka menepati piawaian IP68 yang membolehkannya mampu bertahan apabila direndam di dalam air berkedalaman 1.5m selama 30 minit. Manakala untuk model standard Find X2 pula menepati piawaian IP54 sahaja dan sekadar mampu bertahan dengan percikan air sahaja.

Melalui teknologi Oppo SuperVOOC 2.0, kedua-dua model telefon pintar ini mampu dicaskan sepenuhnya dalam tempoh masa 38 minit. Model Pro menawarkan kapasiti bateri 4,280 mAh, manakala model standard menawarkan kapasiti bateri 4,200 mAh.

Dari segi rekaan luarannya pula, Find X2 Pro boleh didapati dengan pilihan pelapik belakang seramik atau kulit berasaskan tumbuhan. Manakala model standard Find X2 pula menawarkan pelapik belakang Corning Gorilla Glass 6.

Menggunakan antaramuka ColourOS 7.1 yang berasaskan Android 10, Find X2 Pro ditawarkan pada harga EU 1,199 (~RM 5,664), dengan model standard standard Find X2 ditawarkan pada harga 999 (~RM 4,719). Harga untuk pasaran Malaysia bakal diumumkan pada 10 Mac ini bersempena pelancaran rasminya untuk pasaran Malaysia yang bakal berlangsung melalui siaran web.

Pra-tempahan untuk siri Oppo Find X2 telah mula dibuka sejak dari 7 Mac 2020 dengan Find X2 bakal hadir ke pasaran Malaysia pada 14 Mac dan disusuli Find X2 Pro seminggu kemudian pada 21 Mac 2020.

Tinggalkan komentar