Oppo F11 Pro menampilkan kamera utama 48MP yang mampu menawarkan tangkapan gambar potret yang mengkagumkan walaupun dalam keadaan gelap.

Oppo Malaysia secara rasminya telah pun melancarkan Oppo F11 Pro malam semalam dan melalui model ini, Oppo dilihat ingin mengangkat siri F ini ke tahap yang lebih tinggi. Telefon pintar ini menampilkan sebuah penderia imej 48MP untuk kamera utamanya yang berkeupayaan mengambil imej potret yang lebih anggun, sesuai dengan tema jenamanya sebagai ‘Pakar Swafoto’ (Selfie Expert).

F11 Pro turut memperkenalkan modul boleh-katup untuk kamera swafotonya bagi membolehkannya menawarkan paparan berskrin penuh Panoramic Full HD+ 6.6-inci.

Selain itu, untuk fungsi kameranya telefon pintar ini turut dilengkapkan bersama-sama mod Ultra Night dan mod Dazzle Color yang bertujuan meningkatkan kualiti imej yang diambil pada waktu malam.

Tidak sekadar menawarkan kamera berkuasa tinggi semata-mata, telefon pintar ini juga dilengkapkan dengan enjin pemecut prestasinya sendiri yang dinamakan sebagai Hyper Boost. Mod ini berperanan mengoptimasi 11 permainan mudah alih popular termasuk PUBG dan AOV. Melalui mod ini, sumber dari perkakasan digunakan secekapnya bagi memastikan respon permainan lebih pantas, sambungan rangkaian yang stabil dan pengurangan kejatuhan kadarĀ frames.

Telefon pintar ini juga dilaporkan mampu digunakan sehari suntuk melalui baterinya yang berkapasiti 4,000mAh.

Oppo F11 Pro kini boleh dipra-tempah dengan dua pilihan warna iaitu Thunder Black dan Aurora Green di Oppo Online Store dan Kedai Konsep Oppo pada harga RM1,399.

Tinggalkan komentar