OPPO Malaysia telah mengumumkan telefon pintar peringkat menengah terbarunya, OPPO A96 akan dilancarkan pada minggu depan, 18 April 2022. Telefon pintar ini hadir sebulan selepas pelancaran OPPO A76.

Tidak jauh beza dengan model yang dilancarkan pada bulan lepas, OPPO A96 menampilkan ciri yang hampir sama. Antaranya skrin penuh dengan papara berpenebuk lubang, pengimbas cap jari pada sebelah sisi dan dwi kamera pada bahagian belakangnya.

OPPO A96 juga dilengkapkan dengan cipset Snapdragon 680 dan bateri 5,000mAh dengan sokongan pengecasan pantas sehingga 33W melalui port USB-C.OPPO A96 Malaysia 2

Pun begitu, terdapat beberapa perbezaan spesifikasi antara A76 dengan A96. Misalnya paparannya sedikit besar melalui LCD IPS 6.59-inci dengan resolusi piksel 1080 x 2412, nisbah aspek 20:9 dan kadar penyegaran semula 90Hz. Turut disediakan konfigurasi RAM 8GB dan juga pilihan storan UFS 2.2 sehingga 256GB khusus untuk model ini.

Dari segi fotografi pula, OPPO A96 menampilkan dwi-kamera dengan kamera utama 50MP f/1.8 dan kamera berkedalaman 2MP f/2.4. Dihadapan pula disediakan kamera swafoto 16MP.

Telefon ini juga didatangkan dengan antaramuka ColorOS versi terkini yang berasaskan Android 11. Selain itu, telefon yang hadir dengan kerintangan air dan debu, IP5X dan IP4X ini turut menyokong ketersambungan Bluetooth 5.0.

OPPO Malaysia akan melancarkan OPPO A96 secara penstriman dalam talian langsung menerusi laman Facebook dan YouTube rasminya pada minggu depan, Isnin jam 12.30 tengah hari.

Harga bagi OPPO A96 setakat ini masih lagi belum diumumkan dan ia dijangka akan diketahui menjelang pengumumannya kelak. Berdasarkan harga ketika pelancarannya di India baru-baru ini, OPPO A96 dijual pada harga Rs. 19,999 (~RM1,112) di pasaran India.

Tinggalkan komentar