Telefon pintar Oppo A92 secara rasminya telah dilancarkan di Malaysia pada 4 Mei 2020. Diumumkan dua minggu sebelumnya, telefon pintar peringkat pertengahan ini dilengkapkan dengan cipset Snapdragon, pembesar suara dwi-stereo berserta tetapan kuad-kamera.

Oppo A92 menampilkan Neo Display 6.5-inci IPS FHD+ dengan paparan berpenebuk lubang. Sisi kanannya ditempatkan penderia cap jari yang turut berperanan sebagai butang mengunci. Selain penderia tersebut, telefon pintar ini juga boleh dinyahkunci melalui imbasan wajah. Turut disediakan port bicu audio disebelah bawahnya.

Untuk spesifikasinya, Oppo A92 dilengkapkan dengan cipset Snapdragon 665 dengan RAM 8GB dan kapasiti storan 128GB. Telefon pintar ini juga mempunyai bateri berkapasiti 5,000mAh dengan pengecasan pantas 18W melalui sokongan USB-C. Ia dioperasikan oleh ColorOS 7.1 yang berasaskan Android 10.

Dilengkapkan dengan kuad-kamera untuk kamera belakangnya, A92 menggabungkan lensa utama 48MP, ultra-lebar 8MP, makro 2MP dan penderia berkedalaman 2MP. Selain itu, sistem kamera telefon pintar ini juga berkeupayaan AI dengan kebolehan rakaman video 4K. Manakala kamera hadapan yang ditempatkan pada lubang paparannya menawarkan lensa tunggal 16MP.

Oppo A92 dijual pada harga RM1,199 dan sedia untuk pra-tempahan sejak semalam hingga 8 Mei 2020. Telefon pintar ini juga boleh didapati dengan dua pilihan warna iaitu, Twilight Black dan Shining White. Bagi anda yang membuat pra-tempahan, anda bakal menerima waranti 18-bulan secara percuma bersama-sama pembesar suara Bluetooth Olike.

Selain itu juga, Oppo turut memperkenalkan putik telinga nirwayar sebenar Enco W31. Putik telinga ini hadir dengan ciri tahan lasak IP54, peningkatan audio Bass Mode dan jangka hayat bateri sehingga 3.5 jam dan sehingga 15 jam dengan bekas pengecasan. Ia boleh didapati dengan pilihan warna Hitam dan Putih pada harga RM259.

Tinggalkan komentar