Utama Android Oppo OPPO A76 hadir ke pasaran Malaysia; Berharga RM899

OPPO A76 hadir ke pasaran Malaysia; Berharga RM899

1205
0
OPPO-A76-Malaysia-Harga

OPPO Malaysia telah mengumumkan kehadiran telefon pintar siri A baharunya ke pasaran tempatan, OPPO A76. Dilengkapkan dengan cipset Snapdragon peringkat menengah, paparan 90Hz dan sebagainya, model terkini ini ditawarkan pada harga yang amat menarik.

OPPO A76 menampilkan paparan HD+ 6.56-inci beresolusi 720 x 1612 piksel, kadar penyegaran semula 90Hz, dan nisbah skrin-ke-kerangka 89.9%.

Sebagaimana yang biasa ditawarkan pada telefon yang seangkatan dengannya, telefon OPPO terbaru ini turut menawarkan pengimbas cap jari pada sebelah sisinya. Walaubagaimanapun, telefon ini tidak menyediakan bicu audio 3.5mm.

Bersama-sama cipset Qualcomm Snapdragon 680, telefon ini turut didatangkan dengan RAM 6GB, storan dalaman 128GB. Dalam pada masa yang sama, fungsi RAM maya turut disediakan bagi perluasan memori. Dari segi ketersambungan rangkaian, telefon ini hanya menyediakan sokongan rangkaian 4G sahaja.

Sebuah bateri berkapasiti 5,000mAh turut disediakan untuk telefon peringkat menengah ini dengan sokongan pengecasan pantas SuperVOOC 33W. Menurut OPPO, pengecasan selama 5 minit sahaja sudah mampu membolehkan telefon ini membuat panggilan selama 3 jam setengah.

Dari sudut fotografinya, OPPO A76 menyediakan tetapan dwi-kamera yang mengandungi 13MP f/2.2 selaku kamera utama dan kamera sekunder 2MP sebagai kamera kesan potret. Pada bahagian hadapannya yang berpenebuk lubang, sebuah kamera 8MP turut disediakan bagi tujuan swafoto dan panggilan video.

OPPO A76 telah mula dijual bermula dari hari ini dan boleh didapati menerusi kedai dalam talian rasmi OPPO di pautan berikut: https://www.oppo.com/my/store/product/oppo-a76.P.P1000362

Pada harga RM899, OPPO A76 ditawarkan dalam dua pilihan warna iaitu Glowing Blue dan Glowing Black.

Tinggalkan komentar