Rangkaian 5G kini boleh dikatakan sudah pun mula digunakan secara meluas di beberapa buah negara dan Malaysia dijangkakan mungkin akan mula menerimanya menjelang hujung tahun ini.
Pun begitu, ini tidak menghalang Oppo untuk mula merancang senibina rangkaian 6G yang menurutnya akan “membentuk semula cara manusia berinteraksi dengan AI.” Selain itu, Oppo mensasarkan teknologi ini dapat digunakan oleh orang awam.
Berdasarkan ‘kertas putih’ berkenaan perancangan 6G yang diterbitkan oleh Oppo, salah satunya memanfaatkan penggunaan AI melalui 6G untuk kenderaan swapandu.
Menurut Henry Tang, Ketua Saintis 5G di Oppo menyatakan penetapan 5G akan dimulakan sekitar 2025 kelak dan dijangkakan pelaksanaan penggunaan komersial akan bermula pada 2035.
Turut diramalkan unit-unit AI akan melebihi bilangan umat manusia di dunia di masa hadapan. Justeru, unit-unit ini dijangka akan mampu berkomunikasi dengan lebih mudah dan boleh bekerjasama antara satu sama lain.
Sungguhpun kertas putih ini kelihatan terlalu ideal untuk pelaksanaan teknologi rangkaian 6G, namun sekurang-kurangnya Oppo telah menetapkan hala tuju jangka panjangnya.
Masih ada banyak lagi perkara yang perlu dilakukan terutamanya di dalam keadaan masih lagi terdapat kawasan yang masih lagi hanya mampu menawarkan rangkaian 3G sahaja.













