OpenSignal baru-baru ini telah menerbitkan laporan yang melibatkan tiga pengeluar utama telefon pintar dunia; Samsung, Huawei dan Apple. Laporan terbaru ini mengkhususkan pada keupayaan telefon pintar dari pengeluar-pengeluar ini berdasarkan data-data yang dikumpulkan dari 73 buah negara termasuk Malaysia.
Salah satu poin utama laporan ini adalah kelajuan memuat turun oleh telefon pintar dari ketiga-tiga pengeluar ini. Di Malaysia, didapati pengguna Samsung menerima kelajuan memuat turun yang lebih baik berbanding pengguna peranti dari Apple dan Huawei.
Berdasarkan data yang dikumpulkan oleh Open Signal dari 1 April hingga 30 Jun 2019, kelajuan memuat turun yang diterima oleh pengguna Samsung di Malaysia dicatatkan pada 16Mbps. Manakala Huawei pula mencatatkan kelajuan memuat turun pada 15Mbps dan seterusnya Apple pada 13Mbps.
Perkara ini bagaimanapun adalah satu kebiasaan di kebanyakan negara di seluruh dunia. Malah, pengguna Samsung di Amerika Syarikat turut mencatatkan kelajuan memuat turun yang lebih baik dari pengguna Apple.
Di dalam laporan yang sama turut menyatakan telefon-telefon pintar peringkat atasan di Malaysia secara puratanya mencatatkan kelajuan memuat turun pada 19.9Mbps. Jauh lebih tinggi berbanding telefon peringkat pertengahan dan rendah iaitu pada masing-masing 13.8Mbps dan 12.3Mbps.
Maklumat lanjut mengenai laporan ini boleh didapati menerusi laman web rasmi OpenSignal.













