Syarikat penyelidikan kecerdasan buatan (AI), OpenAI, secara rasminya telah memperkenalkan pelan langganan baharu yang dikenali sebagai ChatGPT Go di Malaysia. Pelan ini menawarkan akses kepada keupayaan canggih ChatGPT pada harga yang lebih berpatutan berbanding pilihan sedia ada iaitu Plus dan Pro.

Pada harga RM38.99 sebulan, pelan ChatGPT Go menyediakan pelbagai kelebihan kepada pengguna. Antaranya ialah akses lanjutan kepada model utama syarikat, GPT-5, dengan had mesej yang 10 kali lebih tinggi berbanding pelan percuma.

Selain itu, had untuk penjanaan imej dan muat naik fail turut ditingkatkan sebanyak 10 kali ganda, manakala kapasiti “Memory” digandakan bagi membolehkan respons yang lebih peribadi.

Walaupun ia merupakan tawaran paling murah daripada OpenAI, pelan ini tidak merangkumi akses kepada alatan yang lebih maju seperti penyelidikan mendalam (deep research) dan penciptaan video Sora. Keupayaan tersebut hanya terhad kepada pelanggan pelan Plus dan Pro.

Buat anda yang berminat untuk melanggan, anda boleh mendaftar melalui laman web rasmi atau memuat turun aplikasi mudah alih ChatGPT. Anda perlu mempunyai akaun sebelum boleh melanggan mana-mana pelan yang ditawarkan.

Buat masa ini, pembayaran di laman web hanya boleh dibuat menggunakan kad kredit. Bagaimanapun, OpenAI menyatakan pihaknya akan “mengkaji pilihan pembayaran tambahan tidak lama lagi”.

Langganan ini akan terpakai pada akaun pengguna untuk menikmati akses kelebihan yang ditawarkan merentasi semua peranti. Menurut OpenAI, pengguna yang sedia ada melanggan pelan lain boleh beralih kepada ChatGPT Go melalui bahagian tetapan akaun.

Maklumat lanjut, layari laman web rasmi OpenAI.

Tinggalkan komentar