OpenAI telah mengumumkan GPT-5, model AI baharunya. Seperti yang dijanjikan sebelum ini, GPT-5 tersedia untuk semua penggua ChatGPT. Menurut OpenAI, model baharu ini dinaik taraf untuk segenap segi dengan peningkatan prestasi untuk pengkodan, penulisan dan kesihatan.
Perubahan paling ketara melibatkan sistem bersepadu yang menggabungkan pelbagai model ke dalam satu model sahaja. Ini bermakna pengguna tidak perlu memilih pilihan spesifik “Think Longer” jika ingin menggunakan keupayaan pertimbangan aras tinggi. GPT-5 mengintegrasikan penghala masa nyata bagi menentukan model mana yang bersesuaian untuk kuiri. Ia berasaskan jenis perbualan, kerumitan, keperluan alatan dan niat pengguna.
Untuk prestasi sebenar model, OpenAI mendakwa ia lebih pantas dan lebih tepat selain tahap merapunya juga semakin dikurangkan. Halusinasi model bahasa raya merupakan sesuatu yang lumrah dan sejauh mana keberkesanan dakwaan ini perlu dilihat pada perkembangan penggunaannya di dunia sebenar.
Dari segi pengekodan pula, model ini dikatakan berfungsi dengan lebih baik untuk penjanaan kompleks sisi hadapan dan menyah-pepijat repositori yang lebih besar. Selain dari itu, OpenAI juga telah meningkatkan keupayaan penulisan model ini. Ia membolehkan ChatGPT membantu pengguna menulis draf dan menyunting dengan lebih baik. Untuk kuiri berkaitan kesihatan pula, GPT-5 kini lebih aktif dan akan menandakan perkara-perkara perlu diberikan perhatian.
OpenAI turut mendakwa GPT-5 merupakan model paling selamat setakat ini. Antara yang diperkenalkan ciri baharu yang dikenali sebagai perlengkapan (completion) selamat. Ia membolehkan ChatGPT menawarkan jawapan yang paling membantu tanpa melanggar garis panduan keselamatan. Jika bot berkenaan enggan menjawab pertanyaan pengguna, ia akan menyediakan penjelasan keengganannya dan menawarkan alternatif.
GPT-5 disediakan sebagai tetapan lalai baharu di dalam ChatGPT, menggantikan model sebelumnya untuk pengguna yang melog masuk. Model ini telah diterbitkan kepada semua pengguna Plus, Pro, Team dan Free. Pengguna Enterprise dan Edu akan menerima model tersebut pada minggu hadapan.
Pengguna berbayar seperti biasa boleh menggunakan model tersebut tanpa had dan boleh mengakses ke Pro yang lebih maju. Dalam pada masa yang sama, pengguna percuma akan dipindahkan ke model GPT-5 mini sebaik sahaja melebihi had penggunaan yang ditetapkan.













