Syarikat teknologi mengkhususkan kecerdasan buatan, OpenAI, kini dilaporkan berada dalam peringkat pembangunan beberapa peranti fizikal pintar dengan kuasa ChatGPT sebagai teras utama. Menurut sumber industri, antara produk yang sedang dibangunkan ialah speaker pintar tanpa skrin, cermin mata AI, peranti perakam suara dan pin digital yang bersaiz kecil dan mudah dipakai.
Menurut laporan, OpenAI turut bekerjasama rapat dengan nama besar industri seperti Luxshare dan Goertek, iaitu pembekal utama Apple untuk produk seperti iPhone dan AirPods. Penyertaan legenda reka bentuk, Jony Ive, bersama firma LoveFrom dan beberapa bekas jurutera Apple dijangka memberi nilai tambah dari segi kualiti reka bentuk dan inovasi produk. Kolaborasi ini dijangka memastikan piawaian produk adalah setanding gergasi industri.
Antara yang menjadi tumpuan ialah speaker pintar berkuasa AI yang beroperasi tanpa skrin, membolehkan pengguna mengakses ChatGPT secara lebih intuitif dan pantas. Kacamata AI pula sedang diuji tanpa pengesahan pelancaran rasmi, manakala wearable pin direka bagi akses segera ke perkhidmatan ChatGPT dalam bentuk yang minimalis dan mudah digunakan harian.
OpenAI dijangka memperkenalkan sekurang-kurangnya satu peranti utama seawal 2026. Projek ini juga mensasarkan penggunaan pasaran secara meluas, dengan sasaran jualan mencecah sehingga 100 juta unit dalam tahun pertama pelancaran. Pakar melihat langkah ini sebagai strategi untuk memperkukuh dominasi AI dalam sektor peranti pengguna, seterusnya memberi saingan hebat kepada gergasi seperti Apple dan Google.
Penganalisis industri turut menjangkakan, jika peranti OpenAI mencapai sambutan yang tinggi, ia bakal membentuk trend baharu peranti elektronik berasaskan AI, sekali gus mengubah landskap teknologi dunia.