Minggu lepas, Ketua Pegawai Eksekutif OnePlus, Pete Lau ada menyebut menerusi satu hantaran di dalam laman forum tentang syarikatnya akan ‘diintegrasikan lebih lanjut’ dengan Oppo.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan dengan lebih lanjut tindakan yang akan dilakukan seterusnya.

Kini, pentiris maklumat internet, Evan Blass mengatakan telah mendapatkan satu dokumen yang menjelaskan usaha penggabungan tersebut dari pihak OnePlus.

Memo berkenaan menyatakan OnePlus akan menjadi sebuah jenama di dalam Oppo, namun akan beroperasi sebagai entiti yang berasingan. Turut dijelaskan, tugas Pete Lau selaku ketua pegawai produk di Oppo akan menjadikan beliau turut bertanggungjawab untuk strategi produk di Oppo dan OnePlus.

Usaha penggabungan ini disasarkan akan menjadikan kedua-dua jenama lebih kuat di pasaran serta mampu menghasilkan produk yang lebih berkualiti melalui penggabungan bahagian-bahagian terutamanya penyelidikan dan pembangunan.

Penggabungan ini dijangkakan tidak akan memberikan kesan besar terhadap pengguna. Pemilikan dan rantaian bekalan bersama antara kedua-duanya mampu memperluaskan jangkauan pasaran antara kedua-dua pengeluar telefon pintar ini.

Tinggalkan komentar