Pengguna telefon pintar Nothing Phone (2) dan (2a) kini boleh menikmati ciri baharu “Circle to Search” melalui kemaskini Android 15. Ciri yang pertama kali diperkenalkan pada peranti Samsung Galaxy dan Google Pixel pada awal tahun 2024, kini tersedia untuk siri Nothing Phone.

Kemaskini ini merupakan sebahagian daripada ciri-ciri di dalam antaramuka Nothing OS 3.0 yang berasaskan Android 15. Untuk Nothing Phone (2a) Plus, ciri ini masih lagi dalam versi beta.

Contoh fungsi Circle to Search pada Google Pixel 8

Ciri “Circle to Search” membolehkan pengguna mencari maklumat terus dari skrin dengan melukiskan bulatan, dan mengetik untuk menyerlahkan kandungan. Ia boleh diaktifkan dengan menekan lama pada butang “Home” atau bar navigasi, bergantung pada sama ada anda menggunakan navigasi tiga butang atau secara gerak isyarat (gestur).

Model yang Menerima Kemaskini

  • Nothing Phone (2): Versi binaan Pong-V3.0-241207-0124
  • Nothing Phone (2a): Versi binaan Pacman-V3.0-241210-2057
  • Nothing Phone (2a) Plus: Versi binaan PacmanPro-V3.0-241126-1448 (versi beta)

Selain “Circle to Search”, Nothing OS 3.0 juga memperkenalkan aplikasi Galeri baharu dengan fungsi carian lanjutan dan alat suntingan yang diperluas. Sistem operasi ini turut menawarkan penambahbaikan pada prestasi sistem, fungsi dan perubahan pada antaramuka.

Nothing juga merancang untuk melancarkan ciri baharu ini kepada model lain dalam barisan mereka pada masa hadapan setelah dinaik taraf kepada Nothing OS 3.0. Ini termasuk varian Jepun bagi Phone (2a). Ini juga menunjukkan bahawa Nothing Phone (1) mungkin akan menerima sokongan ciri ini pada masa hadapan.

Untuk mengemas kini peranti anda, pergi ke Settings > System > System Update.

Pengguna Nothing Phone kini dapat menikmati pengalaman carian yang lebih mudah dan intuitif, sama seperti pengguna Samsung Galaxy dan Google Pixel.

Tinggalkan komentar