Nothing Phone (1) telah diacah sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Pengasasnya Carl Pei telah memutuskan untuk mendedahkannya lebih awal dari tarikh pelancarannya bagi mengelakkan maklumatnya ditiriskan. Kini, telefon pintar berkenaan secara rasminya dilancarkan.
Menerusi pengumuman rasmi tersebut, spesifikasinya juga turut diketahui. Untuk skrinnya, Nothing Phone (1) menyediakan paparan AMOLED dengan sokongan HDR10+, kadar penyegaran semula 120Hz dan kadar pensampelan sentuhan 240Hz. Telefon pintar ini juga diperkuatkan dengan lapisan kaca Corning Gorilla Glass 5 pada bahagian hadapan dan juga permukaan belakangnya.
Cipset Qualcomm Snapdragon 778G Plus digunakan sebagai kuasa pemprosesan Nothing Phone (1). Ia juga menggunakan bateri berkapasiti 4,500mAh yang menyokong pengecasan 33W.
Menurut Carl Pei, telefon ini mampu dicaskan sepenuhnya dalam tempoh satu jam dan boleh bertahan lebih dari satu hari penggunaannya. Selain dari pengecasan berwayar seperti biasa, telefon pintar ini juga menyokong pengecasan nirwayar 15W dan juga pengecasan berbalik nirwayar 5W. Pun begitu, telefon dengan pengecasan melalui port USB-C ini tidak menyediakan palam pengecasnya. Hanya seutas kabel USB-C disediakan.
Untuk kameranya, hanya terdapat dua kamera sahaja disediakan pada bahagian belakangnya. Kedua-duanya merupakan kamera dengan sensor 50MP, dengan salah satunya merupakan Sony IMX766 dengan sokongan penstabil imej berganda. Sebuah lagi kamera yang juga 50MP menggunakan sensor ISOCELL JN1 yang berperanan sebagai kamera bersudut lebar.
Selain warna putih, Nothing Phone (1) turut didatangkan dengan pilihan warna hitam. Terdapat tiga pilihan bagi konfigurasi RAM dan storannya iaitu 8GB + 128GB, 8GB + 256GB, dan 12GB + 256GB. Harga yang ditawarkannya pula masing-masing RM2,399, RM2,699 dengan pilihan konfigurasi 12GB + 256GB masih lagi belum diumumkan.
Nothing Phone (1) akan mula memasuki pasaran pada 21 Julai dan akan menemui pengguna tempatan bermula 1 Ogos ini.













