HMD Global secara rasminya telah mengumumkan Nokia 9 PureView bersempena acara Mobile World Congress (MWC) 2019 baru-baru ini. Sebelum ini terdapat pelbagai desas-desus mengenai telefon pintar ini termasuk ura-ura mengenai tetapan lima kamera untuk kamera utamanya.
Nokia 9 PureView dilengkapi dengan cipset Qualcomm Snapdragon 845 bersama-sama RAM 6GB dan storan dalaman berkapasiti 128GB.
Turut didedahkan dengan lebih terperinci adalah paparan OLED 5.99-inci Full HD+ bersama-sama penderia cap jari ultrasonic dari Qualcomm yang terbina dalam. Tidak ketinggalan, telefon pintar yang menyokong fungsi pengecasan tanpa wayar ini didatangkan dengan bateri berkapasiti 3320mAh. Sesuai dengan reputasinya sebagai jenama telefon yang tahan lasak, Nokia 9 PureView mempunyai penarafan IP67.
Paling mencuri tumpuan untuk telefon pintar model ini adalah penggunaan kamera utama dengan lima lensanya dengan kelima-limanya adalah kamera 12MP. Dua daripadanya berfungsi sebagai penderia RGB, manakala baki selebihnya sebagai penderia monokrom (hitam-putih).
Kelima-lima lensa ini akan mengambil foto secara serentak apabila pengguna mengambil gambar. Hasil gabungan imej dari kelima-limanya akan memberikan kualiti gambar yang lebih jelas warnanya. Bagi memberikan lebih kepuasan buat pencinta fotografi, Nokia 9 PureView turut membenarkan penggunanya menyimpan imej dalam format RAW. Turut disediakan, aplikasi Adobe Lightroom khusus untuk menyunting imej berformat RAW terus pada telefon pintar ini.
Nokia 9 PureView ditetapkan harga jualannya bermula dari $699 (lebih kurang bersamaan RM2849) dan dijangkakan akan mula memasuki ke pasaran seminggu selepas MWC2019. Harga dan tarikh keberadaan telefon pintar mercu keluaran Nokia ini di Malaysia masih lagi belum diumumkan.










