HMD Global telah secara rasminya melancarkan Nokia 8 untuk pasaran Malaysia pada 8 September baru-baru ini. Peranti ini menandakan telefon pintar Android keempat yang dilancarkan oleh syarikat berkenaan untuk pasaran tempatan dan merupakan telefon pintar flagship pertama keluarannya.

Dikuasakan oleh Qualcomm Snapdragon 835, telefon pintar yang menggunakan sistem operasi Android asli ini turut didatangkan bersama RAM 4GB, storan dalaman UFS 2.1 64GB bersama-sama sokongan penggunaan kad SD mikro sehingga 256GB. Nokia 8 turut hadir dengan paparan IPS 5.3 inciĀ (2560 x 1440) serta dilindungi oleh Corning Gorilla Glass 5.

HMD turut mengimplementasikan penggunaan dwi-kamera untuk bahagian kamera belakangnya dengan sokongan teknologi Zeiss. Tetapan kamera ini mengandungi satu penderia 13MP dengan penstabil imej optikal yang digunakan untuk pengimejan berwarna dan sebuah lagi penderia 13MP juga yang dikhususkan untuk imej hitam dan putih.

Untuk kamera hadapan pula, Nokia 8 menyediakan sebuah kamera 13MP f/2.0 PDAF yang boleh digunakan secara serentak bersama-sama kamera belakangnya. Ia memudahkan pengguna yang ingin menggunakannya untuk tujuan Facebook Live. Telefon pintar ini turut kalis percikan air dengan menerima penarafan IP54.

Selain itu, telefon pintar ini hadir dengan bateri berkapasiti 3,090 mAh dan akan dijual pada harga RM2,299 dengan pilihan-pilihan warnanya iaitu Stainless Steel, Tempered Blue dan Polished Blue. Untuk pilihan warna Polished Copper pula, ia dijangka akan menyusul kemudian.

Setakat ini, masih belum diketahui bila versi 6GB/128GB telefon pintar ini akan hadir ke pasaran Malaysia.

Layari laman rasmi Nokia untuk maklumat lanjut.

Sumber berita diperoleh dari New Straits Times

Tinggalkan komentar