Bloomberg melaporkan Netflix sedang mempertimbangkan untuk memperkenalkan pelan dengan iklan berharga di antara $7 (~RM31.42) hingga $9 (~RM40.39) sebulan. Harga tersebut hampir menyamai pelan Standard Netflix di Malaysia iaitu RM45.
Di Amerika Syarikat, pelan Basic Netflix bermula dari $9.99 (~RM44.84) sebulan dan hanya dihadkan kepada seorang pengguna sahaja dan tiada penstriman berkualiti HD. Untuk penstriman HD, harga langganan $15.49 (~RM69.52) untuk pelan Standard. Kedua-dua pelan ini tidak mempunyai sebarang iklan buat masa ini.
Menurut laporan dari Bloomberg lagi, Netflix merancang untuk menyelitkan iklan lebih kurang empat minit bagi setiap jam. Iklan berkenaan juga tidak akan diletakkan pada permulaan atau penghujung sesebuah rancangan atau filem. Netflix juga dikatakan tidak akan menunjukkan iklan di dalam rancangan kanak-kanak, setakat ini.
Pelan dengan harga yang lebih rendah ini pada asalnya mensasarkan kepada pengguna yang inginkan lebih penjimatan dalam menstrim kandungan dalam talian. Menurut Netflix, pelan dengan iklan ini akan diuruskan oleh Microsoft selaku rakan teknologi pengiklanan eksklusif dan jualan.
Sungguhpun pelan Netflix dengan iklan ini kelihatan sedikit murah dengan pelan tanpa iklan, ia tidak begitu berbaloi memandangkan anda perlu menghadap iklan tetapi masih perlu membayar kos langganan tersebut.
Sebagai perbandingan, kos langganan bulanan YouTube Premium di Malaysia adalah RM23.90 dan ia sememangnya bebas dari sebarang iklan. Jika Netflix benar-benar ingin memperkenalkan pelan dengan iklannya di Malaysia, diharapkan harga yang ditawarkan kelak sekurang-kurangnya separuh dari pelan Mobile yang berharga RM17 sebulan.













