Netflix telah menyatakan rancangannya untuk memperkenalkan pelan dengan sokongan iklan sudah agak lama, cuma bila ia mula diperkenalkan sahaja yang tidak dinyatakan sebelum ini.

Jun lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Netflix Ted Sarandos menyatakan pihaknya akan melancarkan sekitar tahun ini. Netflix kemudiannya menyatakan kepada para pelaburnya bahawa pelan tersebut akan diperkenalkan pada awal 2023.

Kini, laporan terkini menyatakan ia akan diperkenalkan pada tahun ini juga, atau lebih tepat lagi pada 1 November 2022.

Media Variety memetik sumber yang rapat berkenaan tarikh tersebut. Atas sebab mengapa tarikh tersebut dipilih adalah bagi memperkenalkannya lebih awal dari pesaing rapatnya, Disney Plus. Platform penstriman dari konglomerat media besar yang popular dengan Mickey Mouse berkenaan bukan sekadar memperkenalkan pelan baharu dengan iklan, malah akan menaikkan harga langganannya bermula 1 Disember ini.

Sungguhpun Netflix mungkin telah memutuskan tarikh pelancarannya, ia tidak akan hadir ke semua pasaran secara serentak. Laporan berkenaan menyatakan ia akan hadir ke pasaran Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada, Perancis dan Jerman terlebih dahulu.

Sebelum ini laporan dari Bloomberg menyatakan pelan Netflix dengan iklan ini mungkin akan diperkenalkan sekitar US$7 hingga US$9 sebulan. Memandangkan tempoh sebelum pelaksanaannya yang agak panjang sekitar dua bulan lagi, dijangka mungkin terdapat beberapa perubahan yang akan berlaku sebelum ia dimuktamadkan. Harga awal yang dijangkakan ini juga mungkin tidak akan sama apabila diperkenalkan ke pasaran Malaysia kelak.

Tinggalkan komentar