Netflix akan bekerjasama dengan Microsoft untuk melancarkan pelan langganan baharu dengan iklan. Pelan langganan ini dikatakan lebh murah, namun pilihan berkenaan masih lagi terlalu awal untuk diperkenalkan.
Menurut Netflix, pihaknya kini masih perlu mengambil kira pelbagai faktor untuk diperhalusi sebelum memperkenalkan pelan langganan beriklan kepada sejumlah 221.6 juta pelanggannya di seluruh dunia.
Sebelum ini Netflix pernah menyatakan niat tersebut sejak dari April lalu apabila mereka melaporkan pengurangan sejumlah 200,000 pelanggan mereka dalam tempoh tiga bulan pertama tahun ini.
Bagaimanapun, punca pengurangan jumlah ini banyak disumbangkan oleh faktor Netflix menghentikan perkhidmatannya di Russia. Ini seterusnya mengakibatkan sejumlah 700,000 pelanggannya di Russia tidak dapat mengakses ke platform penstriman berkenaan.
Selain itu, Netflix turut menyatakan terdapat sekurang-kurangnya 100 juta pelanggan yang berkongsikan akaun dan ini dikatakan memberikan kesan terhadap pendapatan Netflix secara keseluruhannya.
Pemilihan Microsoft sebagai rakan kerjasama Netflix adalah bersesuaian atas pelbagai faktor. Antaranya, kedua-duanya tidak bersaing secara terus berbanding nama besar lain di dalam teknologi seperti Google, Meta dan Amazon yang masing-masing mempunyai platform penstriman masing-masing.













