Ketua Pegawai Eksekutif Netflix, Reed Hastings sebelum ini pernah menyatakan beliau tidak kisah jika para pelanggannya berkongsikan akaun dengan orang lain.
Bagaimanapun, tindakan ini bertentangan dengan Seksyen 4.2 Terma Penggunaan Netflix dan ianya bakal memberi kesan kepada pengguna-pengguna yang berkongsikan satu akaun.
Baru-baru ini sebahagian pengguna-pengguna yang berkongsi akaun dilaporkan telah menerima notifikasi meminta pengesahan pemilik asal akaun. Notifikasi ini juga turut meminta pengguna yang berkongsikan akaun tersebut supaya mendaftar akaun sendiri.
O no. Netflix doing the purge?!? pic.twitter.com/XXlHtfgfsy
— chante most (@DOP3Sweet) March 9, 2021
Pada masa yang sama, pengguna yang meminjam akaun berkenaan juga ditawarkan percubaan percuma selama 30 hari jika mendaftarkan akaun baharu sendiri.
Well that was fun while it lasted @netflix. THE END OF AN ERA. THE NETFLIX PURGE HAS BEGUN pic.twitter.com/GNtTDonTiV
— SmiteBets (@SmiteBets) March 9, 2021
Industri hiburan penstriman pada masa kini kian rancak dengan beberapa pemain industri utama mula mengasingkan hak eksklusif francais popular masing-masing. Netflix pada masa yang sama telah membuat pelaburan besar bagi menghasilkan kandungan untuk menyaingi kandungan dari studio-studio besar lain.
Pengguna Netflix yang berkongsikan akaun di Malaysia buat masa ini masih ada yang belum menerima notifikasi berkenaan. Jika tindakan ini dilaksanakan sepenuhnya di seluruh dunia, Netflix bakal melihat perubahan besar pada jumlah penggunanya – sama ada bertambah atau berkurangan. Faktor ekonomi masyarakat dunia secara amnya pasca pandemik ini juga perlu diambil kira memandangkan tidak semua mampu melanggan semua perkhidmatan penstriman yang ditawarkan.













