Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil baru-baru ini telah berkongsikan mengenai usaha Malaysia untuk melesenkan platform-platform media sosial. Langkah bagi memastikan platform-platform lebih bertanggungjawab terhadap kandungan di dalamnya ini turut mendapat perhatian dari beberapa negara.
Sebahagian daripadanya telah pun menghubungi pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi tujuan tersebut. Badan mengawal selia komunikasi United Kingdon, Ofcom telah menghubungi SKMM bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan kaedah perlesenan untuk platform media sosial dan permesejan.
Selain itu, badan yang bertanggungjawab di Singapura juga turut membincangkan mengenai proses perlesenan. Ia telah menjadi perkara penting kerana melibatkan kepentingan negara.
Kementerian Komunikasi juga menyatakan apabila Malaysia mempengerusikan ASEAN 2025, lebih banyak negara yang ingin mengetahui kaedah pelaksanaan dan keberhasilannya. Malaysia mensasarkan untuk menguatkuasakan proses perlesenan ini bermula dari 1 Januari 2025.
Sebelum ini beberapa platform media sosial telah mengadakan pertemuan dengan pihak kementerian dan memberikan maklumbalas positif berhubung pelaksanaan peraturan baharu tersebut. Langkah perlesenan platform media sosial ini akan memberikan lebih tanggungjawab terhadap pengurusan kandungan disamping dapat memastikan ia mematuhi undang-undang negara.