MyEG telah mengumumkan pelancaran NFT Pangolin, sebuah platform dagangan NFT global. Platform ini akan dioperasikan melalui rangkaian blok rantaian Zetrix Layer 1 yang akan dilancarkan tidak lama lagi. Rangkaian berkenaan merupakan rantaian yang berselari dengan Xinghuo, infrastruktur rantaian blok kebangsaan China.

NFT Pangolin menyokong Ethereum dan dalam pada masa yang sama merancang NFT berasaskan Zetrix yang dikatakan mengenakan kadar yuran lebih rendah dan kurang menghasilkan jejak karbon. Sebahagian dari yuran oleh pengeluar akan disalurkan ke platform OpenSea kerana pusat pasaran MyEG ini dipautkan ke OpenSea.

Atas sebab itu, kesemua penyenaraian pada web koleksi NFT Pangolin akan muncul secara serentak pada OpenSea. Pengguna juga boleh menawarkan NFT masing-masing di China melalui platform oleh MyEG ini sungguhpun penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat di China. Menurut MyEG, Zetrix Layer 1 juga akan menyokong dagangan rentas rantaian tidak lama lagi.

Berdasarkan laman soalan lazimnya, platform ini turut menyokong kaedah tempaan malas (lazy mint), proses dimana karya yang dihasilkan hanya ditempa (minted) sebaik sahaja ia dijual. Ia mampu menjimatkan masa dan perbelanjaan pengguna memandangkan karya yang dijual tidak dijamin boleh dijual selepas ditempa.

Ia juga menyokong royalti menerusi kontrak pintar menerusi rantaian blok Ethereum. Buat masa ini, NFT Pangolin hanya menyokong dompet kripto MetaMask sahaja.

Tinggalkan komentar