Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan penangguhan pelaksanaan penggunaan MyDigital ID sebagai kaedah log masuk tunggal bagi aplikasi MyJPJ kepada 1 Mac 2026.

Langkah yang sepatutnya berkuat kuasa untuk pengguna berusia 18 tahun ke atas bermula Februari ini telah dijadualkan semula berdasarkan pengumuman ringkas yang dibuat oleh pihak jabatan tersebut menerusi laman rasmi Facebook mereka.

Keputusan ini merupakan kali kedua pelaksanaan tersebut ditangguhkan. Terdahulu pada November tahun lalu, JPJ memaklumkan bahawa MyDigital ID bakal menggantikan kaedah log masuk sedia ada sepenuhnya bermula 1 Februari bagi warganegara dewasa.

Walau bagaimanapun, pengguna di bawah umur 18 tahun dan pemegang kad MyPR masih dibenarkan menggunakan kaedah log masuk sedia ada. Caranya menerusi pautan khas yang memerlukan nombor MyKad atau MyPR 12 digit berserta kata laluan.

Sebelum ini, MyDigital ID telah diumumkan sebagai kaedah log masuk mandatori bagi aplikasi MyJPJ pada Oktober 2024. Namun, pelaksanaannya ditangguhkan selepas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, menyatakan kementerian belum memuktamadkan keputusan mengenai perkara tersebut pada ketika itu.

Sistem MyDigital ID yang dibangunkan oleh MIMOS di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berfungsi sebagai:

  • Sistem pengurusan identiti nasional untuk pengesahan pengguna.
  • Platform untuk transaksi dalam talian yang selamat.
  • Kunci akses tunggal kepada pelbagai perkhidmatan kerajaan.

Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memusatkan akses perkhidmatan digital rakyat melalui satu identiti yang disahkan.

Tinggalkan komentar