Aplikasi mudah alih Polis DiRaja Malaysia (PDRM) MyBayar PDRM kini hanya boleh diakses menggunakan MyDigital ID. Menurut platform identiti digital kebangsaan berkenaan, pengguna perlu membuat pengesahan menggunakan MyDigital ID untuk membuat semakan saman, pembayaran dan mengakses ke ciri-ciri lain di dalam aplikasi.
Perkembangan ini rentetan dari pengumuman awal yang menyatakan MyBayar PDRM dan MyJPJ akan menggantikan kaedah log masuk kepada MyDigital ID secara berperingkat. Buat masa ini MyBayar PDRM yang telah selesai membuat peralihan kaedah log masuk melalui MyDigital ID, manakala MyJPJ dijangka akan menyelesaikannya tidak lama lagi.
Kerajaan juga dilihat akan memperkenalkan pelbagai usaha untuk mempercepatkan penggunaan MyDigital ID. Julai lalu Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa memaklumkan kerajaan sedang mempertimbangkan akta khusus berkaitan MyDigital ID.
Selain perkhidmatan kerajaan, lebih banyak perkhidmatan kini mula mengintegrasikan sistem pengenalan digital kebangsaan ini. Kementerian Komunikasi baru-baru ini telah mengumumkan pendaftaran kad SIM prabayar akan dipautkan dengan MyDigital ID menjelang akhir tahun ini.