Tahun 2021 memperlihatkan keuntungan yang besar buat sesetengah YouTuber. MrBeast, Jake Paul, dan Markiplier merupakan antara penyedia kandungan yang meraih pendapatan melebihi sebahagian besar bintang-bintang Hollywood.
Di tempat pertama 10 teratas YouTuber paling tinggi menerima bayaran pada 2021 dihuni oleh MrBeast yang meraih sebanyak $54 juta (~RM225 juta). Angka ini hampir dua kali ganda dari pendapatan yang diraih oleh YouTuber paling tinggi bayaran pada 2020, Ryan Kaji ($29.5 juta, ~RM129.41).
Sebahagian dari pendapatan MrBeast datangnya dari 10 billion tontonan di dalam salurannya. Selain itu, jualan dan aplikasi MrBeast Burger juga turut menyumbang kepada pendapatan ini yang digunakan di 1,600 restoran di Amerika Syarikat dengan sebanyak 5 juta burger telah dijual.
Di tangga kedua, Jake Paul meraih pendapatan sebanyak $45 juta (~RM188 juta). Kebanyakan pendapatannya ini disumbangkan oleh tiga perlawanan tinju yang disertainya pada tahun 2021. Baki selebihnya $5 juta (~RM20 juta) diraih melalui dari pengiklanan di saluran YouTube beliau.
Melengkapkan podium tiga tempat teratas, Markiplier di tangga ketiga dengan pendapatan sebanyak $38 juta (~RM158 juta) hasil dari YouTube dan juga jualan produknya. Selepas kejayaan siri Unus Annus, Markiplier merancang untuk beralih ke kandungan penstriman seperti Netflix atau Hulu pada tahun ini melalui siri baharu beliau, The Edge of Sleep.
Senarai YouTuber paling tinggi menerima bayaran sepanjang tahun 2021
Berikut adalah senarai keseluruhan 10 teratas YouTuber dengan bayaran tertinggi sepanjang 2021:
- MrBeast – $54 juta (~RM225 juta)
- Jake Paul – $45 juta (~RM188 juta)
- Markiplier – $38 juta (~RM158 juta)
- Rhett & Link – $30 juta (~RM125 juta)
- Unspeakable – $28.5 juta (~RM119.2 juta)
- Like Nastya – $28 juta (~RM117.1juta)
- Ryan Kaji/Ryan’s World – $27 juta (~RM112.9 juta)
- Dude Perfect – $20 juta (~RM83.6 juta)
- Logan Paul – $18 juta (~RM75.3 juta)
- Preston – $16 juta (~RM66.9 juta)
Maklumat-maklumat yang diperolehi ini adalah berdasarkan data dari Captiv8, SocialBlade, Pollstar dan sumber dalaman industri sepanjang tempoh Januari hingga Disember 2021. Angka ini juga tidak mengambil kira jumlah selepas cukai dan bayaran-bayaran kos lain seperti ejen, peguam dan pengurus.













