Utama Android Moto Motorola Edge 20 Pro kini mula membuka pra-tempahannya di Malaysia

Motorola Edge 20 Pro kini mula membuka pra-tempahannya di Malaysia

594
0

Motorola Edge 20 Pro kini mula membuka pra-tempahannya bagi pasaran Malaysia. Telefon pintar peringkat mercu ini akan dijual pada harga RM2,499 di pasaran tempatan. Bagaimanapun, diskaun sebanyak RM400 akan diberikan kepada pembeli yang membuat pra-tempahan bagi telefon pintar ini.

Anda boleh membuat pra-tempahan Motorola Edge 20 Pro dengan harga  RM2,099 di Lazada dan Shopee sepanjang tempoh 12 hingga 25 Disember ini. Pembeli akan mula menerima unit yang dipesan bermula dari 31 Disember 2021 nanti.

Motorola Edge 20 Pro hadir dengan paparan OLED Full HD+ 6.7-inci dengan kadar penyegaran semula 144Hz dan kadar lewah sentuhan 576Hz. Telefon pintar peringkat mercu yang menggunakan cipset Snapdragon 870 5G ini turut hadir dengan RAM LPDDR5 12GB dan storan UFS 3.1 256GB.

Dari sudut fotografinya pula, Edge 20 Pro mempunyai tri-kamera yang mengandungi kamera utama beresolusi tinggi 108MP f/1.9, kamera bersudut ultra-lebar 16MP f/2.2 dan kamera telefoto berperiskop 8MP yang mempunyai keupayaan zum optikal 5X.

Telefon pintar ini juga mempunyai keupayaan Super Zoom sehingga 50X melalui zum digitalnya. Tidak ketinggalan, pada sebelah paparan berpenebuk lubangnya turut ditempatkan kamera swafoto 32MP.

Menguasakan telefon pintar ini adalah bateri berkapasiti 4,500mAh yang menyokong pengecasan TurboChargin 30W melalui USB-C. Terdapat pengimbas cap jari pada sebelah sisinya serta butang khas pada sebelah kiri untuk Google Assistant.

Hanya sebuah pembesar suara disediakan dan tiada bicu audio 3.5mm disediakan pada Motorola Edge 20 Pro ini. Dari segi ketersambungan, ia menyokong 5G, WiFi 6, NFC dan Bluetooth 5.1. Untuk antaramukanya, telefon pintar Motorola baharu ini menggunakan Motorola My UX yang berasaskan Android 11.

Tinggalkan komentar