Kementerian Kewangan (Ministry of Finance, MOF) telah mengeluarkan amaran tentang mesej palsu yang disebarkan di dalam WhatsApp. Mesej tersebut dikatakan akan menawarkan RM200 di bawah skim Bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) 2025. Pihak kementerian menjelaskan mesej dan pautan yang disertakan bersama tersebut adalah palsu.
Di dalam hantaran di halaman Facebook, MOF menggesa orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mengelakkan diri dari menekan apa-apa pautan yang meragukan. “Berhati-hati dan jangan mudah terpedaya dengan mesej palsu seumpama ini di media sosial,” menurut hantaran tersebut.
Ia rentetan daripada penipuan yang sama muncul pada bulan lalu menerusi platform yang sama yang pada ketika mendakwa sebagai program Sumbangan Tunai Rahmah (STR). Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil sebelum ini mengingatkan mesej berkeaan yang seringkali mempunyai pautan yang meragukan ini mungkin mempunyai kaitan dengan skim penipuan dalam talian yang lain.
SARA dan STR merupakan inisiatif pihak kerajaan dalam membantu rakyat terutamanya bagi golongan rentan menangani kesan kenaikan kos sara hidup.













