Kementerian Kewangan (MOF) di dalam jawapan balas di Parlimen mengesahkan mekanisme pelaksanaan rasionalisasi subsidi petrol RON95 yang akan datang sedang dimuktamadkan. Dinyatakan MyKad, e-wallet, dan aplikasi mudah alih syarikat minyak antara pilihan yang dipertimbangkan untuk penyaluran bantuan tersebut.
Kenyataan tersebut hadir selepas pertanyaan oleh beberapa Ahli Parlimen mengenai perincian pelaksanaan usaha tersebut. Mantan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (PN-Bera) bertanyakan bagaimana pihak kerajaan mengenalpasti penerima yang layak. Manakala Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin (PN-Larut) meminta penjelasan mengenai mekanisme, gsris masa dan dakwaan mengenai 85% rakyat Malaysia tidak akan terjejas dengan pelaksanan tersebut.
Menurut pihak kementerian, kriteria kelayakan masih lagi diperhalusi dan dibincangkan bersama-sama para pemegang taruh bagi memastikan keberkesanan pelaksanaannya. Hanya individu bukan warganegara dan yang berkemampuan mendapatkan bahan api tanpa subsidi akan dikecualikan.
Kerangka kerja kelayakan akan melibatkan semak silang rekod pendapatan dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), banci pendapatan isi rumah dari Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), dan dari Pangkala Data Utama (PADU). Lain-lain faktor seperti pemilikan kediaman dan kenderaan mewah turut diambil kira.
Apabila dilaksanakan, MOF memaklumkan akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk memantau kestabilan harga bahan api dan menjamin kepentingan awam. Sistem baharu tersebut dijadualkan akan diumumkan pada bulan September ini.













