KUALA LUMPUR, 13 Oktober 2022 – Acara kemuncak Minggu Digital Malaysia 2022 (Malaysia Digital Week – MDW 2022) yang dianjurkan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), agensi peneraju ekonomi digital Malaysia menutup tirainya pada hari ini. 

Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB Tan Sri Datuk Seri Panglima TPr Annuar Haji Musa juga telah melancarkan Ikrar Tindakan Iklim Malaysia Digital atau Malaysia Digital Climate Action Pledge (MDCAP) iaitu ikrar korporat yang bertujuan membina kapasiti dan meningkatkan penerimagunaan yang mampan dan tindakan iklim oleh perniagaan dalam seluruh ekosistem ekonomi digital.

MDCAP dibangunkan oleh MDEC dengan kerjasama UN Global Compact Network Malaysia – Brunei (UNGCMYB). Kohort pertama Penandatangan MDCAP terdiri daripada 28 buah perniagaan dari sektor ekonomi digital. Penandatangan ini akan mendapat akses kepada sumber termasuk buku panduan tindakan iklim dan kit peralatan karbon (termasuk kalkulator talian dan alatan laporan) bagi membantu mereka merangka dan melaksanakan pelan tindakan iklim yang tepat. 

Peratusan Ekonomi Digital Malaysia dari KDNK

Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, “Ekonomi digital Malaysia mencapai 22.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun lepas dan dijangka berkembang melebihi sasaran awal sebanyak 25.5 peratus menjelang tahun 2025. Ini menjadikan ekonomi digital sebagai pemangkin utama peralihan negara kepada amalan ekonomi yang lebih mampan.”

“Peranan sektor swasta dalam memperjuangkan amalan lestari ini amat penting dalam mencapai aspirasi negara bebas karbon. Walau bagaimanapun, kami menyedari bahawa sesetengah syarikat mungkin sukar untuk menjalankan operasi perniagaan mereka secara mampan. Oleh kerana itu, menerusi MDCAP, mereka akan mempunyai akses kepada pelbagai sumber dan amalan terbaik bagi membantu mencapai aspirasi mampan bersama.”

Ikrar ini sejajar dengan komitmen Kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai negara bebas karbon menjelang tahun 2050. Seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) Kerajaan menyasarkan pengurangan sebanyak 45 peratus dalam pelepasan gas rumah hijau terhadap KDNK menjelang 2030 berbanding garis dasar pada 2005 serta mencapai 31 peratus campuran tenaga boleh diperbaharui menjelang 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Ts. Mahadhir Aziz berkata, “Untuk memanfaatkan peluang ekonomi hijau yang luas, kita harus menyesuaikan strategi, struktur dan proses bagi memperkasakan keupayaan kita untuk menghadapi risiko-risiko seperti perubahan iklim. MDCAP merupakan satu langkah yang amat penting dalam konteks ini sejajar dengan objektif untuk memajukan ekonomi digital secara mampan.” 

Enam komitmen Ikrar Tindakan Iklim Malaysia Digital (MDCAP)

Menerusi MDCAP, penandatangan dikehendaki melaksanakan sekurang-kurangnya dua daripada enam komitmen berikut:

  • Menjalankan operasi perniagaan dengan cara yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar, melalui amalan 3R iaitu kurangkan, guna semula, kitar semula (Reduce, Reuse, Recycle).
  • Mengambil tindakan meminimumkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) dengan melaksanakan kecekapan tenaga atau tenaga boleh diperbaharui.
  • Melaksanakan pemerolehan yang bertanggungjawab di seluruh rantaian bekalan.
  • Menentukan strategi tadbir urus iklim mengikut misi, visi dan nilai syarikat.
  • Menggalakkan dialog bersama pihak berkepentingan mengenai amalan kelestarian syarikat.
  • Berkongsi amalan kelestarian terbaik dari segi strategi, pelan tindakan dan inisiatif.

Pengarah Eksekutif UNGCMYB, Faroze Nadar menambah, “Tindakan positif bermula dengan kekuatan niat dan ini yang kami harapkan agar ia dapat dipacu dan diusahakan menerusi MDCAP. Kelestarian itu tidak berlaku dalam sekelip mata tetapi ia harus bermula dengan keinginan untuk merubah perniagaan menjadi lebih bertanggungjawab dan para pemain ekonomi digital sebenarnya merupakan ejen perubahan yang penting dalam memenuhi matlamat agenda iklim di peringkat nasional dan global.

“Sumber dan amalan terbaik yang disediakan telah disesuaikan untuk menjadi panduan yang boleh digunapakai di semua spektrum pelaksanaan agar ia berada di tahap yang lebih baik. Kami berharap agar MDCAP akan menjadi pemangkin kepada syarikat-syarikat ekonomi digital untuk memberi nilai tambah kepada usaha kemampanan sekali gus meningkatkan daya tahan dan daya saing mereka serta memanfaatkan permintaan terhadap kelestarian perniagaan yang semakin mendapat tumpuan,” katanya. 

Sumber lain yang ditawarkan di bawah MDCAP termasuk ePembelajaran Kelestarian, yang dibangunkan bersama oleh UNGCMYB dan Taylor’s University yang turut ditawarkan kepada 75 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pertama yang mengambil ikrar pada kadar bersubsidi. 

Syarikat yang berminat untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai MDCAP boleh melayari https://mdec.my/mdw/

Tinggalkan komentar