Microsoft hari ini telah melancarkan Windows 365, perkhidmatan PC awanan yang membolehkan sesebuah perusahaan menstrim sistem operasi Windows 10 atau Windows 11 melalui pelayar web.
Perkhidmatan ini ditawarkan bagi menyokong cara kerja secara jarak jauh dan hibrid dengan memberikan akses ke PC pada mana-mana peranti.
Harga langganan bagi perkhidmatan ini ditawarkan berdasarkan kapasiti CPU, RAM dan storan yang diperlukan oleh pengguna.
Ketika diumumkan pertama kalinya tidak berapa lama dahulu, kita hanya mengetahui satu sahaja pelan bagi perkhidmatan ini iaitu $31 (RM 130.99) sebluan untuk 2 vCPU, RAM 4GB dan storan 128GB.
Harga langganan Microsoft Windows 365
Kini, melalui pengumuman pelancaran rasminya, pelan lengkap perkhidmatan Microsoft Windows 365 telah diperincikan. Terdapat dua kategori pelan PC awanan ini ditawarkan iaitu:
Bagi pengguna yang telah memiliki lesen Windows 10 Pro, harga langganan paling murah ditawarkannya ialah $20 (RM 84) sebulan atau $24 (RM 101) sebulan bagi yang tiada lesen. Langganan pelan termurah ini menyediakan PC awanan berkonfigurasi 1 vCPU, RAM 2GB storan 64 GB dan kuota penggunaan 12GB.
Untuk konfigurasi yang lebih “premium” pula, langganan Microsoft Windows 365 menyediakan 4 vCPU, RAM 16GB dan storan 128GB pada harga $66 (RM 278.87) sebulan. Seterusnya, pakej yang paling berkuasa tinggi ditawarkan ialah 8 vCPU, RAM 32GB dan storan 512GB dengan harga langganan dari $158 (RM 667) sebulan.
Penawaran perkhidmatan penstriman pastinya mempunyai kelebihan bagi perusahaan dalam mengurangkan kos perolehan perkakasan ICT baharu. Namun, perubahan ke arah sistem awanan bagi penggunaan di Malaysia secara umumnya memerlukan sokongan infrastruktur yang lebih padu terutamanya pada sambungan rangkaian Internet.
Kunjungi Windows365.com untuk maklumat lanjut.













