Microsoft Surface Neo tidak akan dilancarkan pada tahun ini sebagaimana yang telah dirancang. Laporan menyebut Windows 10X, sistem operasi yang asalnya untuk peranti dwi-skrin seperti Surface Neo, akan diperkenalkan pada PC berskrin tunggal.
Ketua Pegawai Bahagian Produk Microsoft, Encik Panos Panay melalui kenyataan terbarunya di dalam blog menyatakan Windows 10X dihasilkan dengan fokus utama penggunaan perkhidmatan awanan.
Beliau bagaimanapun tidak memperincikan kaedah khusus cara penggunaan sistem operasi terbaru tersebut.
Namun, penangguhan pelancaran peranti dwi-skrin ini tidak bermaksud Microsoft mengabaikan pembangunannya sama sekali. Menurut Encik Panos Panay lagi, pihaknya akan sentiasa mendapatkan waktu yang sesuai untuk melancarkan peranti tersebut ke pasaran.
Berdasarkan perkembangan terkini, peranti dwi-skrin dari Microsoft mungkin tidak akan hadir dalam tahun ini. Apa yang pasti, kita dapat melihat sistem operasi terbaru Windows 10X dalam masa yang terdekat ini serta apakah perbezaannya dengan Windows 10 biasa.













