Microsoft sedang menukarkan Skrin Biru Maut (Blue Screen of Death, BSOD) ke warna hitam di dalam Windows 11. Gergasi perisian ini sudah memulakan pengujian perubahan rekaan baharunya di dalam pratonton Windows 11 awal minggu ini.
Walaubagaimanapun, Black Screen of Death ini masih lagi belum dilaksanakan sepenuhnya. Perubahan ini mungkin bertujuan menyelaraskan rekaan skrin log masuk dan skrin mematikan Windows.
Ini merupakan perubahan terbesar pertama pada BSOD sejak Microsoft meletakkan ‘wajah sedih’ pada skrin berkenaan di dalam Windows 8 sejak tahun 2012, dan kod QR pada 2016.
Microsoft pertama kali memperkenalkan BSOD di dalam Windows 3.0 sebagai pemudah cara kepada profesional dan sokongan IT bagi mendiagnosa kerosakan perkakasan dan memori.
BSOD merupakan semakan ralat kernel atau pepijat dari Windows dan biasanya ia menyertakan selonggok data yang boleh membantu pentadbir sistem menganalisa punca masalah.
Sungguhpun warna BSOD akan bertukar menjadi hitam di dalam Windows 11, paparannya masih lagi sama seperti yang terdapat pada Windows 10. Ia masih lagi mengekalkan wajah sedih, kod ralat dan longgokan data tergendala.
Pratonton semasa Windows 11 menyertakan BSOD berwarna hijau, warna yang Microsoft sudah menggunakan pada Windows Insider builds sejak 2016.
Tidak dapat dipastikan sebab mengapa Microsoft menukarkan warna BSOD dari biru ke hitam ini kerana pihak syarikat masih lagi belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenainya.













