Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Microsoft AI, Mustafa Suleyman, mengesahkan Microsoft tidak akan membangunkan perkhidmatan kecerdasan buatan (AI) untuk tujuan “erotika simulasi”. Kenyataan ini dibuat semasa Paley International Council Summit di California. Sekaligus meletakkan Microsoft pada pendirian yang berbeza berbanding rakan kongsinya, OpenAI.

Pendirian tegas Microsoft ini muncul selepas Ketua Pegawai Eksekutif OpenAI, Sam Altman, mengumumkan rancangan untuk membenarkan kandungan erotika pada platform ChatGPT bagi pengguna dewasa yang disahkan. Langkah Microsoft ini dilihat sebagai perbezaan falsafah dan strategi yang semakin jelas antara dua kuasa besar dalam arena AI.​

“Itu bukanlah perkhidmatan yang akan kami sediakan,” kata Suleyman dalam satu kenyataan yang dilaporkan oleh CNBC. “Syarikat lain akan membangunkannya,” tambah beliau, merujuk kepada syarikat seperti OpenAI dan xAI milik Elon Musk, yang turut membenarkan interaksi dewasa pada pembantu AI mereka, Grok.​

Suleyman menyuarakan kebimbangan terhadap trend pembangunan AI yang seolah-olah mempunyai kesedaran. Khususnya yang menjurus kepada hubungan maya dan “seksbot erotika”. Beliau menyifatkan fahaman aliran ini sebagai “sangat berbahaya” perlunya kesedaran untuk mengelakkan pembangunan teknologi sedemikian.​

Sebelum ini Suleyman telah menulis sebuah esei yang memberi amaran bahawa AI yang kelihatan sedar boleh memecahbelahkan manusia. Beliau menekankan Microsoft komited untuk mencipta AI yang boleh dipercayai, selamat digunakan oleh kanak-kanak, dan mempunyai batasan yang jelas.​

Perbezaan pendekatan ini menonjolkan strategi Microsoft yang lebih tertumpu kepada pengguna perusahaan untuk produk AI Copilot mereka, berbanding ChatGPT yang mempunyai gabungan pengguna perusahaan dan umum. Walaupun Copilot mempunyai 100 juta pengguna aktif bulanan, ia masih jauh di belakang ChatGPT dengan 800 juta pengguna.​

Kenyataan Mustafa Suleyman menggariskan komitmen Microsoft untuk membangunkan teknologi AI yang beretika dan selamat, walaupun ia mungkin bermakna mengambil laluan yang berbeza daripada trend semasa dalam industri.

Tinggalkan komentar