Microsoft akan memperkenalkan satu ciri baharu pada platform Teams yang akan mengesan dan memaklumkan lokasi kerja pengguna secara automatik. Kemas kini yang dijadualkan pada bulan Disember ini akan menggunakan sambungan Wi-Fi pejabat untuk menentukan sama ada seseorang pekerja berada di pejabat atau tidak. Ia sekali gus menimbulkan perbincangan mengenai privasi dan pemantauan di tempat kerja hibrid.

Melalui kemas kini pada pelan hala tuju Microsoft 365, ciri ini direka untuk meningkatkan kolaborasi dengan memberi makluman lokasi kepada rakan sekerja. Apabila pengguna menyambungkan peranti mereka ke rangkaian Wi-Fi organisasi, Microsoft Teams akan mengemas kini status lokasi kerja mereka secara automatik untuk menunjukkan bangunan tempat mereka berada.​

Ciri ini akan dilancarkan untuk pengguna Teams di platform Windows dan macOS di seluruh dunia.​

Langkah ini dilihat sebagai satu cara bagi majikan untuk memastikan keberadaan fizikal pasukan mereka di pejabat, terutamanya dalam era kerja fleksibel. Walau bagaimanapun, ia telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pekerja yang menghargai privasi dan ketenangan semasa bekerja dari rumah. Sesetengah pihak berpendapat bahawa walaupun sesuatu itu boleh dilaksanakan dari sudut teknikal, ia tidak semestinya perlu dilaksanakan.​

Menurut Windows Reports, Microsoft berhasrat untuk meningkatkan kerjasama dengan memastikan rakan sekerja sentiasa mengetahui dari mana ahli pasukan bekerja.​

Walaubagaimanapun, Microsoft menyatakan bahawa ciri ini akan dimatikan secara lalai (off by default). Pentadbir sistem (tenant admins) syarikat akan mempunyai kawalan untuk memutuskan sama ada mahu mengaktifkannya. Ia juga memerlukan persetujuan daripada pengguna akhir (end-users) untuk ikut serta.​

Kemas kini ini menandakan satu lagi langkah dalam evolusi persekitaran kerja moden, di mana teknologi memainkan peranan yang semakin besar dalam pengurusan tenaga kerja. Walaupun bertujuan untuk meningkatkan sinergi pasukan, ia turut membuka persoalan penting mengenai sempadan antara pemantauan dan privasi pekerja.

Tinggalkan komentar