Microsoft merancang untuk menamatkan sokongan untuk aplikasi Office berasaskan Android untuk pengguna sistem operasi Chrome OS. Bermula 18 September ini, Chromebook yang bergantung pada Office, Outlook, OneNote, dan OneDrive versi Android perlu berpindah ke versi web.
Perkara ini telah disahkan oleh laman web About Chromebooks. Menerusi kiriman dari pembacanya, pengguna Office versi Android telah menerima notis pemakluman untuk berpindah ke versi web.
Laman sokongan Microsoft juga mencadangkan pengguna untuk mengakses ke perkhidmatan Microsoft 365 (nama baharu Office 365) menerusi aplikasi web. Turut dinyatakan, Office, Outlook, OneNote, dan OneDrive versi Android tidak akan disokong pada Chromebook.
Langkah ini dibuat dikatakan bertujuan menyediakan “pengalaman lebih optimum” buat pengguna Chrome OS. Office versi web dibina berasaskan Progressive Web App, (PWA) dan sesuai digunakan pada skrin yang lebih besar seperti Acer Chromebook 317 misalnya.
Bagaimanapun, langkah ini akan menyukarkan pengguna mengakses ke Microsoft 365 jika tiada sambungan ke internet. Ini kerana sebelum ini pengguna masih lagi boleh melakukan tugasan pada Microsoft 365 pada Chromebook walaupun ketika offline.
Walaubagaimanapun, Office versi Android tidak begitu lancar penggunaannya sepanjang masa pada Chromebook. Masalah ini membuatkan pengguna mengharapkan sebuah aplikasi Office secara “natif” dihasilkan bagi menyelesaikan sesetengah masalah yang membelenggu Office versi Android pada Chromebook.
Sebagai alternatif, pengguna mungkin boleh memasang pemalam pelayar Google Chrome, Office Editing yang membolehkan penyuntingan fail dibuat secara offline. Pengguna boleh menyunting fail Word, Excel, dan PowerPoint menggunakan Google Docs, Sheets, dan Slides.













